suria

Qantas Batal Penerbangan Ke Eropah Untuk Hari Ketiga

MELBOURNE: Syarikat penerbangan Qantas Airways membatalkan semua penerbangan ke Eropah untuk hari ketiga berturut-turut berikutan debu gunung berapi di Iceland yang boleh membahayakan penerbangan.

"Penumpang yang membuat tempahan tiket ke Eropah pada Ahad, penerbangan mereka dibatalkan," kata jurucakap wanita syarikat penerbangan itu kepada Australian Associated Press.

"Berkemungkinan pembatalan ini akan berterusan sehingga beberapa hari.

"Kami tidak mencadangkan penumpang pergi ke Asia dan menunggu penerbangan dari sana kerana masih lagi tidak dapat dipastikan bila ruang udara Eropah akan dibuka".

Qantas berkata penumpang harus bersedia menghadapi gangguan tersebut apabila debu gunung berapi itu menghalang penerbangan di seluruh Eropah.

Syarikat penerbangan itu telah memaklumkan penerbangan dari Australia ke Eropah mungkin akan tertangguh sehingga seminggu.

Bagi penumpang yang boleh menangguhkan rancangan perjalanan pada masa depan, Qantas berkata mereka boleh menempah semula penerbangan tanpa dikenakan kos atau wang dikembalikan sepenuhnya.

Qantas kini sedang mengusahakan rancangan luar jangka iaitu menambah penerbangan ke Eropah sebaik larangan itu dibatalkan.

Kira-kira 2,000 penumpang Qantas di Asia diberi pilihan sama ada meneruskan perjalanan ke destinasi lain atau kembali semula ke Australia.

Syarikat penerbangan itu menjangkakan lebih kurang 9,000 penumpang Qantas terjejas ekoran insiden itu manakala 100 penumpang antarabangsa terkandas di Australia dan ditempatkan di hotel di Sydney. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain