suria

ASEAN Sediakan Roadmap Kawal Selesema Burung

JAKARTA: Kerjasama serantau bagi mengawal dan menghapus selesema burung yang paling mudah merebak (HPAI) akan diperhebat bila perancangan atau roadmap bagi menjamin pencapaian matlamat ASEAN bebas HPAI menjelang 2020 dibereskan tahun ini.

Konsep dan pelan kerja dalam memajukan roadmap itu dibincangkan di Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal Pertama mengenai Roadmap HPAI di Sekretariat Asean di sini, kata Sekretariat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Roadmap itu, yang akan dipersiapkan untuk dikemukakan kepada badan sektoral ASEAN yang relevan pada lewat 2010, menggabungkan beberapa fasa dan pendekatan progresif berdasarkan pada pelajaran yang diterima dan inisiatif berterusan dalam konteks lebih luas pengawalan penyakit haiwan rentas sempadan, kerjasama multi-sektoral bagi kesihatan, dan Satu Dunia, Satu Rangkaian Kerja Kesihatan.

"Roadmap itu akan menyumbang kepada integrasi ekonomi serantau ke arah mewujudkan sebuah pasaran tunggal dan asas pengeluaran menjelang 2015 dengan aliran bebas haiwan dan produk ternakan serta mengurangkan kemiskinan dan mempertingkat sekuriti makanan di rantau ini," kata Timbalan Ketua Setiausaha ASEAN bagi Komuniti Ekonomi Asean, S.Pushpanathan dalam ucapan aluannya. Beliau menyifatkan langkah itu sebagai sumbangan utama Asean terhadap Hari Veterinar Sedunia yang disambut setiap tahun pada Sabtu terakhir April," ujar beliau.

Mesyuarat dua hari itu, yang berakhir hari ini, dihadiri oleh pakar-pakar dari jabatan dan agensi kesihatan haiwan dan kesihatan awam negara-negara anggota Asean, sektor swasta dan rakan pembangunan.

Inisiatif Asean ini tetap kritikal oleh kerana rebakan pertama HPAI H5N1 dalam ASEAN bermula pada 2003 dengan tidak kurang daripada 200 juta ayam dan itik dimusnahkan mengakibatkan kerugian ekonomi lebih USD 10 bilion kepada sektor ternakan ayam itik di rantau ini.

Sekurang-kurangnya 330 orang terkena jangkitan di rantau berkenaan, 200 daripadanya maut.

Walaupun H5N1 berjaya dihapuskan dari kawasan ternakan di hampir semua 63 negara yang terjejas ketika kemuncak rebakan global pada 2006, virus itu masih tegar di lima negara, termasuk dua negara anggota Asean - Indonesia dan Vietnam.

"Oleh itu, kawalan secara progresif HPAI terus menjadi keutamaan buat Asean," kata Pushpanathan. - BERNAMA

Artikel Lain