suria

Times Square Gempar Berikutan Penemuan Bom

NEW YORK: Polis menemui bom 'amatur' tetapi berpotensi menghasilkan letupan kuat di dalam sebuah kenderaan yang berasap di Times Square, New York awal pagi semalam dan melarang ribuan pelancong daripada memasuki kawasan itu supaya kerja mematikan bom dapat dilakukan.

"Kami mahu mengelak insiden yang mampu meragut ribuan nyawa. Kenderaan itu boleh meletup dan mencetuskan kebakaran besar serta beberapa kesan akibat letupan," kata Datuk Bandar, Michael Bloomberg.

Kumpulan penyiasat memindahkan tiga tangki propana, bunga api, kontena berisi 19 liter gasolin, dua jam beserta bateri, wayar elektrik dan beberapa komponen lain dari bahagian belakang kenderaan jenis Nissan Pathfinder, kata Komisioner Polis, Raymond Kelly.

Sebuah kotak besi hitam yang menyerupai sebuah lokar senjata api turut ditemui dan akan diletupkan ke kawasan lain.

Bloomberg memanggil bahan peledak itu bersifat amatur manakala Kelly berkata, bahan letupan itu adalah bunga api gred pengguna tetapi mampu menyebabkan kerosakan teruk di blok teater Broadway dan beberapa restoren yang dikunjungi pelancong-pelancong.

"Saya yakin niat itu dilakukan untuk menghasilkan kebakaran besar," kata Kelly.

Tiada suspek ditahan walaupun Kelly memberitahu beberapa video pengawasan menunjukkan kereta yang dipandu dari barat 45th Street Avenue sebelum diletakkan antara Seventh dan Eighth Avenues.

Polis sedang mendapatkan lebih banyak video dari beberapa bangunan pejabat yang belum dibuka ketika kejadian.

Polis memecahkan tingkap dari kenderaan berwarna hitam itu untuk mengeluarkan sebarang bahan letupan selepas seorang pembekal kemeja-T menghubungi mereka apabila terlihat kepulan asap yang keluar dari belakang kereta tersebut pada jam 6.30 petang.

Nombor pendaftaran kenderaan di wilayah Connecticut itu tidak tepat, kata Bloomberg.

Menurut pemilik kenderaan itu, dia membuang nombor plat kenderaan itu ke kawasan pelupusan.

Artikel Berikut

Artikel Lain