suria

Baju Merah Minta Maaf Kepada Hospital

BANGKOK: Puak Baju Merah hari ini meminta maaf kepada Hospital Chulalongkorn di sini kerana menyerbu hospital itu malam tadi dalam usaha mencari pasukan tentera yang kemungkinan bersembunyi di situ.

Pemimpin Baju Merah, Dr Weng Tojirakarn mengaku ia berupa satu kesalahan apabila beberapa penunjuk perasaan antikerajaan menceroboh hospital berkenaan.

Sebagai tanda persahabatan, mereka membubarkan rancangan awal untuk memeriksa hospital itu hari ini dan turut membuka jalan ke hospital tersebut, untuk memberi laluan kepada ambulans dan pihak pekerja hospital, katanya.

Beberapa penunjuk perasaan menceroboh hospital berkenaan malam tadi untuk mencari anggota tentera yang mereka syaki dilindungi pihak hospital, yang terletak berhampiran kawasan perhimpunan utama di Ratchaprasong di sini.

Meskipun pihak berkuasa hospital pada mulanya tidak membenarkan mereka masuk, namun selepas berunding termasuk dengan pihak polis, akhirnya sebilangan kecil penunjuk perasaan dibenarkan berbuat demikian.

Tindakan puak penentang kerajaan itu mendapat kecaman daripada pihak kerajaan, orang ramai, pihak perubatan dan media.

Hospital Chulalongkorn hari ini turut memindahkan ratusan pesakit ke hospital lain dan mengurangkan rawatan pesakit luar dan menangguh semua pembedahan kecuali bagi kes kecemasan.

Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva berkata kerajaan tidak menyangka insiden tersebut boleh berlaku.

"Ia bukan menjadi amalan kerajaan untuk menempatkan anggota tentera di dalam hospital kerana ia bertentangan dengan amalan antarabangsa," katanya.

Berikutan kejadian tersebut, langkah keselamatan di semua hospital kerajaan diperketatkan hari ini.

Sehingga 7 malam ini, puak Baju Merah menyekat semula laluan ke Hospital Chulalongkorn ekoran bimbang kerajaan akan melancarkan serangan ke atas mereka. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain