suria

Pilihan Raya Baru Thailand 14 November Depan - Abhisit

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Abhisit Vejjajiva malam ini mengumumkan pilihan raya baru akan diadakan pada 14 Nov dan Parlimen akan dibubarkan dalam tempoh enam bulan akan datang.

Dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung mengenai pelan damai bagi merungkai kemelut politik yang berlarutan selama tujuh minggu di negara ini, beliau berkata kerajaannya membuat tawaran itu dengan syarat pelan damainya tidak diganggu.

Penggal memegang jawatan bagi kerajaan semasa sepatutnya berakhir hanya menjelang hujung tahun depan.

Pelan damai strategi serampang dua mata bagi mencapai penyelesaian politik menerusi perdamaian dan menegakkan undang-undang itu antara lain menggesa semua pihak supaya mendukung sistem beraja.

Ia turut menggariskan pembaharuan nasional dalam menyelesaikan ketidakadilan dalam struktur ekonomi dan politik serta memastikan peranan media sebagai alat yang konstruktif.

Abhisit berkata kerajaan akan menjalankan kajian mengenai pendapat umum berhubung sistem politik semasa bagi mencapai satu penyelesaian.

Beliau berkata kerajaan akan menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas bagi menyiasat tiga insiden yang mengakibatkan 27 orang terbunuh dan 1,000 orang cedera apabila tentera serta polis bertempur dengan penunjuk perasaan di sini.

"Saya yakin kita dapat memulihkan semula keamanan. Ia tidak akan mengambil masa terlalu lama jika proses itu dibenarkan mengambil tempat secara aman," katanya. Perdana Menteri berkata beliau mendengar permintaan kumpulan baju merah tetapi tidak dapat menerima tuntutan pembubaran Parlimen dalam masa 15 hari, dan menambah pelan damai itu mempunyai jawapan kepada masalah mereka.

Mengenai kumpulan pelbagai warna yang menentang kumpulan baju merah, beliau berkata pelan damai itu turut mengambil kira permintaan daripada semua lapisan masyarakat.

Penunjuk perasaan baju merah anti-kerajaan mengadakan demonstrasi jalanan sejak 12 Mac dalam usaha mereka mendesak kerajaan supaya membubarkan Parlimen.

Mereka menguasai pusat bandar raya sejak tiga minggu lepas, memaksa pusat beli-belah, hotel lima bintang dan pejabat-pejabat utama menghentikan hampir semua aktiviti perniagaan di kawasan berkenaan. -BERNAMA

Artikel Lain