suria

Marditech, Aspperli Kerjasama Keluar Rumpai Laut Bermutu

MAKASSAR: Marditech, anak syarikat milik penuh Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (Mardi), hari ini menandatangani memorandum persefahaman dengan Persatuan Penanam Rumput Laut Indonesia (Aspperli) bagi kerjasama mengeluarkan rumpai laut bermutu tinggi untuk keperluan pengilang di Malaysia.

Majlis menandatangi persefahaman itu disaksikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar dan Setiausaha kerajaan Wilayah Sulawesi Selatan A. Muallim di sini.

Kerjasama itu akan menguntungkan pihak penanam rumpai laut di Sulawesi, yang kini menjadi pengeluar terbesar bahan itu di dunia, untuk mendapat harga jualan lebih baik makanala pengilang di Malaysia pula akan mendapat bahan mentah lebih berkualiti untuk diproses, kata Noh.

Ketua Pengarah Mardi Datuk Dr Abd Shukor Abd Rahman berkata dalam kerjasama itu, Marditech akan membantu penanam rumpai laut di Sulawesi mengenai kaedah yang betul untuk mengeringkan rumpai laut itu bagi meningkatkan kualitinya.

Syarikat itu akan menetapkan standard yang tertentu bagi bahan itu dan tidak menolak kemungkinan akan menggunakan nama Standard Sulawesi agar produk itu lebih dikenali dan diakui bermutu tinggi. Pada peringkat awal, pengeluaran ini bertujuan memenuhi permintaan satu pengilang di Malaysia yang akan mengimport 60,000 tan bahan itu setahun sebagai tambahan kepada 40,000 tan setahun yang dikeluarkan oleh penanam Malaysia.

Jumlah import itu mungkin akan ditambah jika kerjasama ini berjaya menghasilkan bahan yang benar-benar bermutu tinggi, katanya.

Abd Shukor berkata rumpai laut akan diproses oleh pengilang untuk dijadikan penstabil, iaitu bahan penting dalam pemprosesan makanan.

Bahan aktif dalam rumpai laut yang dikenali sebagai "carrigenean" mempunyai banyak kegunaan untuk produk kosmetik dam kapsul ubat selain menjadi ejen pelekat seperti dalam ais krim.

Rumpai laut juga kaya dengan Omega 3 dan Omega 6, katanya.

Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan, rumpai laut merupakan produk bernilai tinggi yang diberikan penekanan khusus oleh kerajaan, tambahnya.- BERNAMA

Artikel Lain