suria

Syarikat Penerbangan Nepal Sedia Khidmat Kathmandu-KL Mulai April

NEW DELHI: Ruang angkasa Malaysia dijangka lebih sesak tahun ini dengan peningkatan jumlah pesawat syarikat penerbangan negara asing ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Yang terbaharu ialah Alpine Air Pvt Ltd yang berpangkalan di Kathmandu, kini bersiap sedia untuk memulakan perkhidmatannya dari ibu kota Nepal itu ke KLIA.

Syarikat penerbangan swasta itu akan melancarkan penerbangan antarabangsanya bulan ini dan Malaysia telah disenaraikan sebagai destinasi utama dalam strategi pengembangan syarikat itu.

"Kami merancang memulakan operasi Kuala Lumpur itu mulai April. Pada permulaannya, kami akan terbang empat kali seminggu dengan pesawat A320.

"Tenaga buruh dan trafik pelancongan ke Malaysia amat tinggi dan kami akan memberi tumpuan pada kedua-dua faktor ini," kata Pengerusi dan juga Pengarah Urusan Alpine Surendra Malla.

Kira-kira 300,000 pekerja warga Nepal kini bekerja di Malaysia dan arus pelancongan antara kedua-dua ibu negara itu kian meningkat.

Syarikat itu telah memajak dua pesawat A320 dan A319 daripada Bahrain Air, untuk penerbangan ke luar negara. Ia juga mengumumkan bahawa syarikat itu akan melaburkan AS$11 juta (RM38.5 juta) dalam pelan pengembangannya.

Malla berkata selepas Kuala Lumpur, destinasi seterusnya ialah Guangzhou di China dan bandar raya utama di India.

Bulan lepas, Bangladesh United Airways melancarkan penerbangan sulungnya ke KLIA yang disasarkan kepada sektor buruh dan pelancongan. -BERNAMA

Artikel Lain