suria

Melayu Singapura Kuat Merokok

SINGAPURA: - Jumlah Melayu Singapura yang merokok mengatasi jumlah perokok daripada kaum Cina dan India di negara ini, kata Kementerian Kesihatan.

Kementerian berkenaan berkata jumlah perokok Melayu adalah sekali ganda melebihi dua kaum itu.

Lelaki Melayu berusia 30 hingga 39 tahun merupakan golongan paling ramai menjadi perokok iaitu 49 peratus berbanding 19 peratus kaum Cina dan 12 peratus kaum India, kata kementerian itu di parlimen Singapura.

Dalam jawapan bertulis kepada soalan lisan yang dikeluarkan hari ini, kementerian itu bagaimanapun berkata jumlah perokok wanita di negara ini hanya berjumlah satu angka peratusan, tetapi daripada jumlah keseluruhan, wanita muda Melayu yang merokok berjumlah 14 peratus.

Kementerian itu berkata lebih separuh daripada perokok wanita berusia bawah 29 tahun dan kadar merokok dalam kalangan mereka meningkat dengan ketara daripada lima peratus pada 1998 kepada sembilan peratus pada 2007.

Kata kementerian itu walaupun jumlah perokok di Singapura adalah antara yang terendah di dunia, tetapi usaha melalui Program Kawalan Merokok Nasional yang dilaksanakan sejak 1970-an berjaya mengurangkan jumlah perokok di negara ini daripada lebih 25 peratus kepada bawah 14 peratus sekarang.

Jumlah rakyat Singapura yang merokok sekarang ialah kira-kira 360,000 orang, kata kementerian itu.

Walaupun jumlah itu kecil berbanding di negara lain, kementerian berkenaan meminta kerajaan terus bersungguh-sungguh dalam melaksanakan usaha mengekang tabiat merokok seperti mengenakan kadar cukai yang tinggi bagi tembakau, mengemaskini peraturan kawalan tembakau dari semasa ke semasa, mengenakan larangan merokok di tempat awam, menyediakan khidmat bantuan berhenti merokok dan mendidik rakyat Singapura tentang bahaya merokok.

Kementerian itu berkata ia juga melaksanakan kempen antimerokok secara berterusan yang ditumpukan terhadap lelaki Melayu. - BERNAMA

Artikel Lain