suria

Duta Baru Serah Watikah Pelantikan Pada Presiden Susilo

JAKARTA: Duta baru Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan hari ini menyerahkan watikah pelantikannya kepada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono di Istana Merdeka di sini.

Upacara disaksikan oleh Menteri Luar Indonesia, Marty Natalegawa, Menteri Koordinator Politik, Undang-undang dan Keselamatan, Djoko Suyanto dan Menteri Setiausaha Negara, Sudi Silalahi.

Syed Munshe Afdzaruddin, 55, yang menggantikan Datuk Zainal Abidin Mohamed Zain, sebelum ini adalah Duta Besar Malaysia ke Iran.

Indonesia bukan asing bagi Syed Munshe Afdzaruddin kerana sebelum bertugas di Iran pada 2005, beliau adalah Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan sebelumnya adalah Konsul Jeneral Malaysia di Medan.

Syed Munshe Afdzaruddin, yang berkelulusan sarjana dalam bidang perhubungan antarabangsa, Universiti Harvard, Amerika Syarikat, memulakan perkhidmatannya di Wisma Putra pada 9 Januari 1984 sebagai Penolong Setiausaha dan empat tahun kemudian dilantik sebagai Setiausaha Kedua Kedutaan Malaysia di Seoul.

Pada tahun 1991, beliau kembali ke Malaysia untuk menyandang jawatan Penolong Setiausaha (Ekonomi), Wisma Putra, dan Pengarah II Asean, Wisma Putra sebelum dilantik sebagai Kaunselor Kedutaan Malaysia di Paris pada 1996.

Presiden Susilo hari ini turut menerima watikah pelantikan enam duta asing lain yang dilantik berkhidmat di Indonesia.

Mereka terdiri Duta Besar Kuwait Naser Bareh Shahir El Enezi, Duta Besar Pakistan Sanaullah, Duta Besar Brunei Datuk Paduka Mahkamd Saidin, Duta Besar Cyprus Nicos Panayi, Duta Besar Algeria Abdelkrim Belarbi dan Duta Besar Switzerland Heinz Walker-Nederkoorn. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain