suria

Mahkamah Sydney Tolak Ikat Jamin Pakar Bedah Malaysia

MELBOURNE: Mahkamah Sydney pada Isnin menolak permohonan ikat jamin seorang pakar bedah neuro rakyat Malaysia yang kini menunggu perbicaraan atas pertuduhan dadah.

Suresh Surendranath Nair, 41, yang kini dalam jagaan polis sejak dia ditangkap pada malam Jumaat kerana melanggari syarat ikat jamin yang melarangnya mengambil khidmat teman sosial wanita atau memiliki dadah terlarang.

Pada 19 November tahun lepas, Nair dituduh membekalkan dadah terlarang yang menyebabkan kematian Suellen Domingues Zaupa, 22 di apartmennya, di timur Sydney. Mayat mangsa dijumpai di apartmen itu tiga hari kemudian.

Pakar bedah itu diberi ikat jamin ketika dihadapkan di mahkamah sebelum ini, dengan syarat dia tidak mengambil dadah terlarang atau menggunakan khidmat mana-mana pelacur.

Pada malam Jumaat itu, dia telah didakwa melanggari syarat ikat jamin, apabila polis mendapati dia mengambil kokain dengan dua orang teman sosial wanita di apartmen yang disewa itu di Bondi Beach, menurut laporan Australian Associated Press (AAP).

Pada Isnin, ketika memohon ikat jamin, peguam Nair, Mitchell Cavanagh berkata, anak guamnya itu mengakui bahawa dia mengalami masalah ketika pakar psikiatri Nair sedang bercuti.

Cavanagh memberitahu mahkamah bahawa Nair tidak akan melakukan kesalahan itu jika dia dibenarkan tinggal dengan ibunya, dan akan tinggal di sebuah hospital psiakiatri jika diperlukan.

"Kini dia menyedari bahawa dia tidak percaya kepada dirinya untuk tinggal bersendirian," kata beliau. Ketika menolak permohonan itu, Majistret Jane Culver berkata, kesalahan itu berlaku tidak lama selepas ikat jamin tersebut diberikan.

Nair akan dihadapkan ke Mahkamah Central Local atas tuduhan melanggari syarat ikat jamin pada 1 Mac dan Mahkamah Downing Centre Local pada 9 Februari kerana kesalahan dadah.

Perkhidmatan Kesihatan Kawasan Barat Sydney menggantung sijil amalan doktor Nair setelah dia ditangkap buat pertama kali pada tahun lepas.

Doktor itu dalam semakan lembaga perubatan pada tahun 2004 dan 2008, yang menyebabkan penggantungan dan syarat dikenakan terhadap pendaftarannya. - BERNAMA

Artikel Lain