suria

Singapura Susun Inisiatif Integrasi Untuk Pendatang

SINGAPURA: Singapura hari ini mengumpulkan pelbagai wakil daripada pertubuhan awam, swasta dan masyarakat dalam satu dialog tertutup bagi membincangkan cara untuk mengintegrasikan golongan pendatang dengan masyarakat tempatan.

Dialog berkenaan, yang diterajui pengerusi Majlis Integrasi Nasional(NIC) Dr Vivian Balakrishnan, ingin mendapatkan pandangan kumpulan itu tentang langkah tambahan yang perlu diambil bagi memantapkan inisiatif integrasi sedia ada.

Kira-kira 120 anggota NIC dan pelbagai kumpulan kerjanya serta pemegang utama kepentingan daripada pertubuhan masyarakat, kesatuan, sekolah dan sektor awam, menyertai dialog itu.

Semasa dialog, Balakrishnan, yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan (MCYS) mendedahkan maklumat terkini tentang strategi dan idea "bagi membuka pintu, hati serta minda pendatang baru terhadap masyarakat kita dan warga Singapura sendiri".

Ini termasuk penyediaan dana Integrasi Masyarakat berjumlah $10 juta dan projek utama yang diberi bantuan melalui dana itu sejak ia dilancarkan September lepas serta inisiatif baru bagi meningkatkan kecekapan penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan pendatang baru.

Balakrishnan juga bercakap tentang pelancaran program perintis Singapore Citizenship Journey yang bertujuan mengintegrasikan warganegara baru ke dalam masyarakat negara bandaraya ini.

NIC akan menggalakkan lebih banyak pendatang mengikuti kursus bahasa Inggeris dan sebuah laman web akan dilancarkan bagi memudahkan orang ramai memilih kursus bahasa Inggeris yang sesuai dengan jadual kehidupan, keperluan pembelajaran dan kemampuan kewangan mereka.

Program Singapore Citizenship Journey - satu program orientasi yang diperkemaskan bagi mereka yang baru menjadi warganegara dan mengandungi unsur-unsur program dalam talian berbentuk interaktif, lawatan ke tempat-tempat bersejarah dan sesi perkongsian di peringkat akar umbi - akan dilancarkan Mac ini.

Semua warganegara baru akan menyertai program ini, yang berakhir dengan satu majlis kewarganegaraan, kata MCYS.

Program ini diharapkan akan membantu membuka hati dan minda mereka yang baru menjadi warganegara untuk mengintegrasikan sepenuhnya diri masing-masing dengan kehidupan masyarakat Singapura, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain