suria

Usahawan Digesa Jalin Kerjasama Langsung Dengan Pengedar China

NANNING (China): Usahawan Malaysia yang berminat menembusi Kawasan Perdagangan Bebas China-Asean (CAFTA) perlu menjalin kerjasama langsung dengan pengedar tempatan dan penyedia selepas perkhidmatan di sini agar mereka boleh menambah baik produk mereka untuk memenuhi keperluan khusus pasaran tuan rumah. "Mereka juga boleh melihat pada setiap komponen rantaian nilai dan menentukan lokasi terbaik bagi pembuatan, penyelidikan dan pembangunan, operasi sokongan dan pengumpulan dana," kata Mirzan Mahathir, Presiden Institut Kajian Strategik dan Kepimpinan Asia (ASLI).

"Mereka kelaknya boleh bekerjsama dengan rakan niaga mereka di setiap negara untuk memaksimumkan pulangan mereka," katanya kepada BERNAMA dalam satu temu bual di luar Forum 2010 mengenai CAFTA yang berkuatkuasa pada 1 Januari.

Mirzan, yang merupakan antara pakar ekonomi yang dijemput untuk berucap di forum tersebut yang diadakan di Li Yuan Resorts di sini dari Khamis berkata, perniagaan dengan produk yang mempunyai tarif sifar boleh meneroka prospek kerjasama dengan rumah dagangan di tanah air sendiri atau di negara tuan rumah untuk menjual produk mereka.

"Mustahak bagi mereka untuk mengambil langkah pertama di luar daripada kebiasaan mereka, menembusi pasaran lain, mendapatkan rakan niaga yang boleh dipercayai dan menjadi pedagang serantau meskipun ia agak mengambil masa," katanya, yang menggesa usahawan Malaysia lebih optimistik dan melihat potensi CAFTA.

"Terdapat keperluan untuk mendedah dan mendidik sektor swasta di setiap negara kepada strategistrategi yang mereka boleh pertimbangkan untuk dilaksanakan bagi memenuhi cabaran yang datang daripada CAFTA dan peluang yang ia sediakan," katanya.

Mirzan berkata perusahaan kecil dan sederhana juga perlu dibantu menerusi insentif, pembiayaan konsesi dan peluang kepada rangkaian dengan rakan niaga berpotensi agar mereka boleh membuat perubahan yang diperlukan daripada pelaksanaan CAFTA.

Diminta mengulas mengenai Dana Pelaburan China-Asean, Mirzan berkata: "Dana pelaburan itu berfungsi sebagai pemangkin bagi memastikan projek di bawah CAFTA yang memerlukan pembiayaan boleh mendapatkan dana daripada sumber."

Beliau berkata dana itu sepatutnya cenderung ke arah memudahkan mekanisme bagi memastikan projekprojek boleh dilaksanakan daripada hanya mencari pulangan kewangan. "Saya andai ia tidak akan bersaing dengan danadana lain yang hanya semata-mata mencari pulangan kewangan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain