suria

Warga Asing Keturunan India Mungkin Mengundi Dalam Pilihan Raya India

NEW DELHI: India sedang merangka satu kaedah bagi membolehkan kira-kira 25 juta warga asing berketurunan India mengundi pada pilihan raya umum tempatan di negara itu.

"Saya mengiktiraf hasrat murni penduduk India di luar negara untuk mengundi dan mempunyai suara dalam menentukan siapa yang mentadbir India. Kami sedang berusaha isu ini dan dengan ikhlas berharap mereka akan mendapat peluang untuk mengundi menjelang pilihan raya akan datang.

"Hakikatnya, saya melangkah setapak lagi dan menyoal kenapa ramai masyarakat India di luar negara tidak pulang untuk menceburi bidang politik dan kehidupan awam berikutan mereka semakin terbabit dalam perniagaan dan bidang akademik," katanya Perdana Menteri India, Manmohan Singh dalam ucapannya pada Persidangan Pravasi Bharatiya Divas Kelapan di sini hari ini.

Bercakap pada persidangan tahunan perhimpuan keturunan India yang dihadiri lebih 1,500 perwakilan dari lebih 50 negara, Manmohan meminta masyarakat India yang tinggal di luar negara supaya mengambil bahagian dalam program pembangunan India dengan membantu mempercepatkan agenda pembangunan ekonomi dan sosial di negara itu.

"Kami memohon pembabitan aktif masyarakat India di luar negara dalam mempercepatkan tahap pembangunan ekonomi dan sosial negara kami.

"Dalam konteks ini, adalah penting bahawa kita mengambil usaha mengaitkan generasi kedua masyarakat India di luar negara dengan warisan keturunan mereka dan melibatkan mereka secara aktif dalam kemajuan negara India," katanya.

Presiden MIC, Datuk Seri S.Samy Vellu mengetuai lebih 150 perwakilan Malaysia pada persidangan tersebut. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain