suria

Laman Web Pelancongan Berteknologi Asean Akan Dilancarkan

NEW YORK: Operator pelancongan dan pengembaraan Malaysia dan badan lain yang terlibat dalam sektor pelancongan, kini dapat memanfaatkan laman carian baharu Asia Tenggara.

Laman web berteknologi tinggi itu SoutheastAsia.org dianggap sebagai kemudahan kempen pemasaran destinasi baharu bagi Asia Tenggara.

Laman web itu yang akan dilancarkan pada 25 Januari, 2010, akan membolehkan pengguna mengenal pasti, merancang dan menempah perjalanan ke pelbagai destinasi di 10 negara anggota Asean.

SoutheastAsia.org juga mempunyai bahagian khusus untuk ejen-ejen pelancongan dan mereka yang terlibat dalam perniagaan perjalanan, dan bagi menjayakannya, operator pelancongan dan perjalanan digalakkan mengemukakan kandungan masing-masing.

Laman web itu adalah ilham usaha sama tiga pihak, antara syarikat yang berpejabat di Singapura, Wego Pte. Ltd., Persatuan Pelancongan Asean (ASEANTA) dan Projek Peningkatan Persaingan Asean (ACE) yang berpejabat di Bangkok.

Projek ACE dibiayai oleh Agensi Amerika Syarikat bagi pembangunan Antarabangsa Misi Pembangunan Serantau Asia (USAID) yang bermatlamat membantu Asean meningkatkan penyepaduan dan daya saing sektor pelancongan dan pengembaraannya.

"Antara strategi kami untuk meningkatkan daya saing pelancongan Asean ialah menggalakkan lebih banyak pembekal perjalanan mengambil bahagian secara dalam talian bagi mengambil peluang terhadap usaha pemasaran dan penyepaduan rantau," kata Pengarah Projek ACE, R. J. Gurley.

SoutheastAsia.org akan menawarkan keupayaan carian meta dengan kandungan menyeluruh yang mampu mencari berdozen laman web sebelum memuatkan keputusan bersepadu dalam peta interaktif dan perancang perjalanan.

Perancang perjalanan itu dibangunkan oleh Wego.com berasaskan teknologi carian meta sedia ada.

"Perancang perjalanan itu akan memaparkan pelbagai maklumat seperti tempahan penerbangan, hotel dan maklumat inovatif yang tersedia di rantau ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif Wego, Martin Symes.

Wego dan ACE akan berkongsi kos pembangunan dan penyepaduan perancang perjalanan manakala ACE akan membiayai kos pembangunan laman web.

Wego akan menjadi hos dan menguru pelayan SoutheastAsia.org manakala Wego dan ASEANTA akan berkongsi perolehan yang dijana menerusi perancang prejalanan itu.

SoutheastAsia.org juga merupakan sebahagian daripada strategi baharu yang dibangunkan sebagai opsyen perjalanan pelbagai yang tersedia di Asia Tenggara, selain membantu meningkatkan kesedaran dunia mengenai "Asean" sebagai komuniti negara.

Laman web itu menyasarkan pelancong antarabangsa, terutama yang mahukan kembara yang menyeronokkan, pengembara yang mempunyai minat khusus serta peminat pelayaran.

Ia akan menawarkan artikel kembara, acara dan kandungan yang menarik minat selain menjadi forum untuk kandungan yang dijana pengguna, seperti panduan perjalanan, sedutan pejalanan, gambar serta video.

Felix Cruz, Pengerusi ASEANTA yang juga Naib Presiden Sokongan Pemasaran Philippine Airlines, menjelaskan bahawa antara strateginya ialah untuk meningkatkan kesedaran mengenai Asia Tenggara sebagai destinasi serantau yang diminati seperti Eropah, Asia Pasifik dan Caribbean.

Kebanyakan kandungan dalam SoutheastAsia.org berkisar kepada tematema khusus seperti ekopelancongan, perjalanan menggunakan kereta api, lawatan ke lokasi kebudayaan dan pelayaran.

"Pelawat boleh membuat carian, merancang dan menempah penginapan di desa, merentas denai dan mendaki gunung atau bersantai di resort pantai dan spa mewah," kata Gurley.

Pelancaran awal SoutheastAsia.org sempena Forum Pelancongan Asean di Brunei, dari 21 hingga 28 Januari ini.

Pada acara itu, rakan usaha sama akan mengumumkan jenama pemasaran destinasi baharu serta perjanjian kempen yang bertujuan menggalakkan pelancong melawat pelbagai destinasi, tinggal lebih lama serta membelanjakan lebih banyak wang di Asia Tenggara. - BERNAMA

Artikel Lain