suria

Rakyat Afghanistan Guna Pasport Palsu Ke Malaysia Ditahan

CHENNAI: Lima lelaki rakyat Afghanistan ditahan kerana menggunakan pasport palsu ketika hendak menaiki sebuah pesawat menuju ke Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Anna di sini pada malam Sabtu.

Pegawai imigresen di lapangan terbang itu menahan lelaki berkenaan ketika mereka hendak menaiki pesawat Air India ke Kuala Lumpur pada kira-kira tengah malam itu dan mendapatinya menggunakan pasport rakyat Nepal.

"Warganegara Afghanistan itu memiliki pasport rakyat Nepal tetapi gambar dalam pasport itu telah ditukar. Visa pelancong menunjukkan mereka menuju ke Malaysia untuk bercuti.

"Kita telah tahan kelima-limanya dan mereka kini direman di bawah jagaan kehakiman dan ditahan di penjara pusat di Chennai," kata pegawai penyiasat kanan polis.

Media di Chennai melaporkan bahawa kelima-limanya telah mengaku bahawa mereka memperoleh pasport palsu itu menerusi sebuah ejen pelancongan dan membayar AS$1,200 setiap seorang untuk perjalanan tersebut. Kelima-lima lelaki itu dikenali sebagai Mohd Hanif (23), Abibullah (24), D. Juma Khan (24), Ali Juma Khan (24) dan Ghayur Dahzada (22).

Seorang rakyat Nepal berumur 25 tahun, Sahara Subba, yang dipercayai dalang pada sindiket pasport palsu itu juga ditangkap bersama dengan rakyat Afghanistan tersebut di lapangan terbang berkenaan.

Menurut siasatan polis, lima lelaki itu yang tiba di India melalui Nepal kira-kira 10 hari lepas dalam perjalanan ke Malaysia untuk mencari pekerjaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain