suria

Kerosakan Sistem Daftar Masuk Jejaskan Jadual Penerbangan Australia

MELBOURNE: Jadual penerbangan pesawat penumpang di seluruh Australia terpaksa dipinda berikutan kerosakan sistem pendaftaran masuk berkomputer yang berlaku pagi ini, kata seorang jurucakap syarikat penerbangan Qantas.

Sistem pendaftaran masuk Amadeus, yang digunakan di seluruh dunia, lumpuh apabila servernya mengalami masalah besar dan memaksa semua syarikat penerbangan menggunakan sistem manual bagi tujuan itu.

Penerbangan domestik Qantas mengalami kelewatan sehinga sejam berbanding jadual asal, manakala tiga penerbangan antarabangsa syarikat itu juga tertunda.

Syarikat penerbangan lain, yang turut menggunakan sistem berkenaan, dipercayai mengalami masalah serupa.

Jurucakap berkenaan berkata, masalah server itu menjejaskan urusan pendaftaran masuk penumpang antara 8.25 pagi dan 9.30 pagi (waktu Australia Timur).

"Sistem ini kembali normal sekarang. Tapi kami menjangka beberapa kelewatan penerbangan akan berlaku hingga menjelang petang ," kata jurucakap itu kepada Australian Associated Press pada jam 1 tengah hari (waktu tempatan).

Masalah serupa berlaku pada November tahun lepas apabila sistem Amadeus mengalami masalah selama tiga jam. - BERNAMA

Artikel Lain