suria

FTA India-Asean Alami Usaha Sukar Dikuat Kuasa Pada 1 Januari

NEW DELHI: Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Asean-India akhirnya berkuat kuasa pada 1 Jan, selepas mendapat halangan di sebelah India, berikutan kebimbangan dan kritikan mengenai perjanjian perdagangan itu, yang telah dirundingkan selama enam tahun.

Pelbagai produk berharga murah - kebanyakannya dari Malaysia, Thailand dan Singapura - tidak lama lagi memasuki pasaran India, selepas ketiga-tiga ekonomi itu melaksanakan FTA dengan India, yang merupakan ekonomi Asia ketiga terbesar, di dalam tiga fasa mulai 1 Januari.

"Kami tidak menentang perjanjian itu tetapi para nelayan di Kerala tidak gembira kerana usaha mengimport akan memberi kesan kepada kehidupan sektor perikanan tradisi dan berskala kecil.

"Vendor perikanan sepanjang pantai yang kebanyakannya wanita akan mengalami keperitan, jika ikan yang lebih murah memasuki pasaran kami," kata Presiden Persekutuan Pekerja Perikanan Bebas Kerala T. Peter kepada Bernama di dalam satu temubual melalui telefon.

Kira-kira sejuta nelayan di negeri sebelah selatan, Kerala, bergantung kepada laut.

Di Kerala, wujud tentangan dari penanam kelapa, gajus dan rempah yang bimbang perjanjian itu akan memberi kesan buruk kepada kehidupan masing-masing kerana produk yang lebih murah dari negara jiran akan memasuki pasaran mereka.

Di bawah FTA itu, yang disifatkan perjanjian terbesar di dunia yang meliputi satu pasaran hampir 1.8 bilion penduduk, tarif akan dikurangkan perlahan-lahan bagi lebih 4,000 barisan produk bagi satu tempoh berperingkat-peringkat sehingga menjelang 2016, tetapi sesetengah produk akan mendapat perlindungan bagi had tertentu.

"Golongan perniagaan menyokong perjanjian itu, iaitu sesuatu yang signifikan yang positif tetapi wujud banyak kritikan dari negeri-negeri seperti Kerala, seperti dari para penanam teh. Kini, sesetengah sektor akan menerima tekanan di dalam negara.

"Asean akan mendapat manfaat besar dari akses pasaran dan eksport Asean ke India akan meningkat secara ketara tetapi eksport kami secara sederhana," kata seorang pegawai kanan India yang biasa dengan perundingan FTA itu.

Perdagangan India dengan tiga ekonomi itu dicatatkan AS$40 bilion (RM140 bilion), yang membentuk sebahagian besar perdagangan India-Asean yang mencatatkan jumlah dagangan hampir AS$44 bilion (RM154 bilion).

Para pemerhati India-Asean percaya beberapa sektor domestik akan berhadapan kesukaran untuk bersaing dengan peserta dari negara-negara Asia Tenggara itu.

"FTA itu mempunyai lebih kepentingan politik daripada kepentingan ekonomi. Kita perlu menunggu lima tahun untuk melihat kesan pada perdagangan kerana kesan ekonomi akan hanya dirasai kemudian.

"Sehingga itu, hasratnya lebih penting lagi, hubungan politik telah dijalin," kata Prof Manoj Pant, di Pusat Perdagangan dan Pembangunan Antarabangsa di Universiti Jawaharlal Nehru. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain