KUALA LUMPUR: Para penggiat seni tanah air khususnya pengarah filem dan drama digalakkan supaya memaparkan cerita atau konflik serantau bagi membolehkan filem tempatan menembusi pasaran Asean.
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata jalan cerita amat penting bagi memasarkan sesuatu karya selain dapat membangunkan industri filem tempatan.
"Dalam membangunkan industri filem tidak boleh hanya harapkan Malaysia, kita harus fikirkan kisah dan konflik serantau untuk menembusi masyarakat nusantara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Pengarah Filem Malaysia 2009 di sini hari ini.
Rais berkata bagi membolehkan filem tempatan menembusi pasaran serantau beberapa langkah diplomatik dan perdagangan di antara negara-negara Asean perlu diadakan.
"Kita boleh bekerjasama dengan Indonesia, Brunei yang mana bahasanya serumpun dan boleh difahami. Jika kita tidak dapat lakukan, kita akan lebih bergelumang sesama kita sahaja," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kementerian bercadang untuk mengadakan latihan mengarah sesebuah filem atau drama kepada generasi muda dengan menggunakan peralatan maju dan terkini.
Beliau berkata Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) perlu menggalakkan penggiat seni menarik minat golongan muda untuk menjadi pengarah filem, drama atau dokumentari.
"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) pula boleh membantu daripada sudut pembangunan digital. Aspek televisyen definisi tinggi dan teknologi baru dapat menyumbang kepada pembangunan industri perfileman," katanya.
Beliau berkata bagi menghargai golongan sutradara, satu anugerah pengarah tahunan akan diperkenalkan meliputi pengarah filem, drama dan dokumentari. -BERNAMA


