suria

Konvoi Viva Palestina Guna Laluan Lain Ke Gaza

AQABAH: Selepas lebih lima hari terkandas di bandar pelabuhan di sini, 450 anggota konvoi Viva Palestina yang menaiki 220 kenderaan dan ambulan terpaksa berpatah balik ke Damsyik, Syria selepas pihak berkuasa Mesir tidak membenarkan konvoi itu menggunakan pintu masuk Nuweiba untuk ke Gaza.

Konvoi itu yang turut disertai lapan rakyat Malaysia, empat daripada Pertubuhan Perdana Global Peace dan empat krew Bernama TV, perlu berpatah balik ke ibu kota Syria itu sebelum meneruskan perjalanan mereka ke pelabuhan Mediterranean El-Arish di Mesir.

Perjalanan dari Aqabah ke Pelabuhan El-Arish dijangka memakan masa 12 jam.

Pertubuhan Perdana Global Peace menyumbang hampir RM500,000 bantuan kemanusiaan dan sebuah ambulan untuk rakyat Palestin di Gaza.

Timbalan Presiden IHH Yayasan Bantuan Kemanusiaan Turki, Huseyin Oruc berkata kerajaan Mesir menegaskan bahawa bantuan perubatan, kemanusiaan dan pendidikan bernilai US$ 1 juta (RM3.5 juta) perlu dihantar melalui Pelabuhan Mediterranean El-Arish.

Katanya perjalanan berpatah balik ke Syria memerlukan konvoi itu membuat satu pusingan dari Semenanjung Sinai dan melalui Terusan Suez.

"Ia tidak penting daripada jalan mana ataupun pintu masuk yang mana akan digunakan, yang penting sampai ke Gaza. Sebenarnya sampai ke Gaza melalui Aqabah adalah lebih mudah.

"Tetapi itu bukan masalah kita, pada bila-bila masa kita boleh pergi, jika mereka (pihak berkuasa Mesir) tidak membenarkan kita masuk, kita sanggup menunggu dalam tempoh masa yang lama, jika mereka membenarkan kita masuk daripada pelabuhan yang lain, kita juga telah bersedia.

"Kita perlu lebih banyak bersabar dan bertenang, kita datang ke sini bukan untuk bergaduh," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Keputusan pihak berkuasa Mesir itu mendapat kritikan oleh anggota konvoi kerana mereka berpendapat kebenaran masuk menggunakan laluan Pelabuhan El-Arish adalah tidak masuk akal.

Konvoi itu telah terkandas di Aqaba sejak menjelang hari Krismas, yang menunggu keputusan kerajaan Mesir membenarkan mereka masuk melalui Nuweiba untuk ke Rafah dan sepatutnya tiba di Gaza pada 27 Disember.

Wakil delegasi Turki yang menyertai konvoi itu, Siamak Alimi yang telah memandu ribuan kilometer dari London ke Aqaba berkata jalan masuk melalui Terusan Suez bukanlah satu pilihan yang baik.

Ini kerana para penumpang tidak dibenarkan menaiki kapal kargo dan Pelabuhan El-Arish terlalu cetek untuk sebuah kapal yang menghantar bantuan kemanusiaan. "Kami telah menghabiskan banyak masa dengan perjalanan beribu-ribu batu untuk sampai ke sini, memang mengecewakan, sangat memalukan kerana tidak membenarkan bantuan dan peralatan perubatan yang diperlukan oleh penduduk Gaza.

"Bantuan ini telah kita kumpulkan berbulan-bulan, bukan saja saya tetapi semua anggota konvoi ini. Orang seperti saya dari Brussel telah bekerja keras untuk menyalurkan bantuan ini dan sungguh memalukan apabila kerajaan Mesir bertindak sedemikian," katanya.

Seorang lagi anggota konvoi, Faruk Aktas berkata kerajaan Mesir sepatutnya memberikan bantuan bagi membolehkan anggota konvoi menghantar bantuan kemanusiaan itu ke Gaza.

"Kami datang bersama-sama dengan konvoi ini dengan membawa bantuan, saya fikir ini bukan setakat soal kemanusiaan, wang tetapi ini untuk Gaza, saudara-saudara kita, kami bersama-sama dengan mereka, jika tidak kami boleh sekadar menghantar wang saja," katanya.

Munir Ahmad, sukarelawan yang menyertai konvoi itu berkata disebalik masalah itu, konvoi itu akan tetap berusaha dengan apa cara sekali pun untuk menghantar bantuan itu.

"Walau apa pun yang berlaku di Mesir, pada masa lepas kami dilontar dengan batu, batu-bata, kayu, polis dan ada yang mencuri barangan bantuan daripada kenderaan kami, kami menempuh kesukaran pada masa lalu, tetapi kami tidak akan berhenti, kami akan terus datang dan terus datang, Insya-Allah," katanya.

Konvoi itu dalam percubaan untuk menembusi sekatan tiga tahun setengah oleh Israel di Gaza dengan melalui Rafah untuk menyalurkan bantuan selepas bertolak dari London 6 Disember lalu, sebelum tiba di Aqaba, Jordan. -BERNAMA

Artikel Lain