suria

Warga Indonesia Diminta Sambut Tahun Baru Dalam Suasana Berkabung

JAKARTA: Warga Indonesia diminta tidak menyambut tahun baru 2010 tengah malam ini secara berlebihan sesuai dengan penetapan tempoh berkabung selama tujuh hari oleh Presiden Susilo Bambang Yudhoyono berikutan kematian bekas Presiden Indonesia Abdurrahman Wahid atau Gus Dur, petang semalam.

Wakil Ketua Bahagian Perhubungan Awam Kepolisian Indonesia Brig Jen Sulistyo Ishak meminta masyarakat menghormati tempoh berkabung itu dalam acara sambutan masing-masing.

"Gesaan Presiden bukan bererti acara perayaan tahun baru ditiadakan, tetapi para penyelenggara kegiatan harus tetap menghormati, supaya situasi tetap kondusif," katanya kepada Bernama di sini.

Rasa berkabung itu, kata Sulistyo mesti ada dalam setiap acara, misalnya dengan menggunakan simbol-simbol tanda berkabung atau memulakan acara dengan bertafakur sejenak atau berdoa untuk Gus Dur.

Selain itu, untuk menghindari hal-hal yang tidak diingini seperti tahun-tahun sebelumnya, konvoi kenderaan di jalan dan pembakaran mercun adalah dilarang.

Pihak berkuasa akan mengawal keadaan di acara sambutan tahun baru malam ini, katanya.

Di Jakarta, majlis sambutan ambang tahun baru antara lainnya akan diadakan di Taman Mini Indonesia Indah (TMII), Ancol dan Monas.

Taman Impian Jaya Ancol yang terletak di tepi pantai utara Jakarta, yang pada awalnya mengaturkan pesta pertunjukan bunga api bertema "Explore Your Imagination" telah menukar tema itu kepada "Damai Indonesia" sebagai menghormati tempoh berkabung.

Artis-artis yang akan mengadakan persembahan seperti kumpulan band Nidji, Ungu, D'masiv, dan ST12 akan mengenakan pakaian berkabung dan menyanyikan lagu-lagu bertema sedih dan seluruh jawatankuasa pengajur akan juga memakai pita hitam di lengan sebagaimana yang pernah dilakukan ketika Aceh dilanda tsunami pada akhir 2004.

Sementara itu TMII akan tetap mengadakan pertunjukan bunga api yang akan dilancarkan dari 21 tempat di Plaza Arsipel di situ, namun acara sambutan itu akan dimulakan dengan bacaan doa untuk Gus Dur dan pertunjukan video mengenang Gus Dur.

Pertunjukan itu akan menggunakan bunga api seberat 750 kg secara keseluruhannya, yang menelan kos Rp2 bilion (RM7.4 juta).

Di Monas, pemerintah Daerah Khusus Ibukota (DKI) Jakarta memutuskan untuk meniadakan segala bentuk aktiviti keramaian di Monas pada malam ini seperti pertunjukan bunga api atau persembahan konsert muzik.

Namun mercu tanda Jakarta ini tidak pernah sepi setiap kali menjelang ambang tahun baru dan malam ini kawasan taman Monas akan dibuka sehingga pukul 3 pagi.

Sementara itu di Bali malam ini, sejumlah jalan akses menuju Pantai Kuta ditutup sementara kepada lalu lintas daripada kenderaan bermotor serta pengangkutan awam bagi membolehkan pejalan kaki bersiar di kawasan itu dengan selesa. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain