suria

Cadangan Mercy Tutup Klinik Di Bihar Sulitkan Keadaan

NEW DELHI: Cadangan Mercy Malaysia untuk menutup satu-satunya klinik kesihatan yang dikendalikan oleh agensi kemanusiaan di pedalaman Bihar ekoran kekurangan dana akan menyebabkan lebih 800 wanita miskin mengandung kehilangan bantuan perubatan, menurut seorang penyelaras kesihatan Mercy Malaysia.

Che Tah Hanafi berkata, 882 wanita mengandung telah berdaftar dengan Mercy dan kesemua mereka dijangka bersalin tahun ini, tetapi Mercy bercadang menutup Pusat Kesihatan Biratpur bagi operasinya di India itu pada bulan depan ekoran kekangan dana.

"Bukan sahaja wanita berkenaan akan menderita tanpa penjagaan kesihatan yang betul sebelum bersalin tetapi penjagaan kesihatan asas bagi banyak bayi juga akan terabai. Kami mempunyai ubat yang mencukupi tetapi perlukan wang untuk menguruskan pusat kami," katanya.

Mercy, yang dibantu oleh para sukarelawanannya telah memberikan rawatan perubatan dan penjagaan kesihatan di utara Bihar, satu daripada negeri paling miskin di India, sejak dilanda banjir besar Kosi pada Ogos 2008 yang mengakibatkan lebih dua juta penduduk kampung kehilangan tempat tinggal.

Badan sukarela itu yang banyak bergantung kepada sumbangan orang ramai, memerlukan kira-kira US$100,000 (kira-kira RM350,000) untuk membiayai pusat itu yang terletak di timur laut Bihar, bagi tempoh setahun lagi.

Mercy yang menjalankan projek penjagaan kesihatan di kawasan pedalaman di Bihar sejak tragedi banjir Kosi, telah membelanjakan hampir US$250,000 (kira-kira RM875,000) untuk memberikan bantuan perubatan.

Ketika krisis kemanusiaan memuncak di kawasan itu, Mercy mengendalikan dua klinik bergerak, menyumbang ratusan helai selimut semasa musim sejuk dan kemudian mendirikan pusat penjagaan kesihatan itu di Biratpur di daerah Saharsa, satu daripada kawasan paling miskin di Bihar.

Bagi tempoh lapan bulan lepas, 70 bayi dilahirkan di pusat Mercy dan 22,000 pesakit luar mendapatkan rawatan di pusat itu yang mempunyai enam katil dan beroperasi 24 jam yang dikendalikan oleh 12 staf tempatan.

Hospital kerajaan terdekat terletak kira-kira 45 kilometer dari pusat kesihatan Mercy dan penduduk setempat, sebahagian besarnya terdiri daripada petani, tidak upaya pergi ke hospital itu kerana jaraknya yang jauh bagi mendapatkan bantuan perubatan.

"Penduduk di sini amat memerlukan bantuan penjagaan kesihatan. Kami merawat pelbagai jenis kes, bayi dengan kesan terbakar (disebabkan kemalangan lampu minyak tanah), cirit-birit, batuk kering dan malaria. Kami malahan mempunyai pesakit terdiri ibu mengandung yang menghidap HIV dan hepatitis. Amat mengusarkan untuk meninggalkan mereka," kata Che Tah. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain