suria

Demokrasi Didukung Dengan baik Di Uzbekistan - Timbalan Pengerusi SPR Malaysia

TASKHENT: Proses pilihan raya di Uzbekistan bagi pemilihan anggota Parlimen negara itu yang berlangsung pada Ahad adalah mematuhi standard antarabangsa, kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

"Demokrasi didukung dengan amat baik di Uzbekistan dan saya ingin nyatakan bahawa proses pilihan raya adalah mengikut standard antarabangsa," katanya kepada Bernama pada Isnin malam selepas keputusan penuh pilihan raya itu diumumkan.

"Bagi saya perkara penting yang saya nampak ialah demokrasi didukung dengan amat baik di Uzbekistan dan walaupun kami tidak berpeluang menyaksikan proses berkempen kerana kami tiba lewat dan tidak mendapat banyak peluang menyaksikan kiraan undi, tetapi daripada segi proses pengundian, saya gembira mengatakan ia mematuhi standard antarabangsa".

Wan Ahmad dan tiga lagi pegawai Malaysia, bersama-sama dengan kira-kira 270 pemerhati asing dari 36 negara dijemput memantau pilihan raya bagi anggota baru Majlis Oliy (sama seperti Dewan Rakyat di Malaysia) Uzbekistan.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat (CEC) Uzbekistan M. Abdusalomov berkata pemerhati dijemput bagi memastikan "keterbukaan" pilihan raya itu.

Wan Mohamed berkata Uzbekistan mematuhi standard antarabangsa dalam pilihan raya berkenaan iaitu pertamanya, undi adalah rahsia dan keduanya, ia "bebas dan mudah" iaitu pengundi bebas memilih calon pilihan mereka.

Aspek ketiga ialah ia perlu disaksikan oleh pemerhati yang mewakili parti-parti politik supaya seluruh proses berlangsung dalam pengawasan parti-parti yang bertanding dalam pilihan raya itu.

"Dan di Uzbekistan, pemerhati antarabangsa dibenarkan menyaksikan proses pengundian secara keseluruhan dan saya menyaksikan keseluruhan langkah dari awal sehingga berakhirnya proses dan ia mematuhi standard antarabangsa," katanya.

Uzbekistan, negara paling padat di Asia Tengah dengan mempunyai kira-kira 27 juta penduduk, mengisytiharkan merdeka daripada Soviet Union pada 1991.

Pemerhati turut mendapati kadar peratusan pengundian adalah tinggi iaitu lebih 15 juta pemilih atau 87.8 peratus daripada 17 juta pemilih berdaftar menjalankan tanggungjawab mereka seperti diumumkan oleh Abdusalomov.

Wan Ahmad berkata angka itu amat tinggi dan pengundi telah keluar mengundi disebalik cuaca sejuk dan landskap muka bumi negara itu yang sukar.

"Dalam soal itu, kita patut mengucapkan tahniah kepada rakyat Uzbekistan yang mempercayai amalan demokrasi kerana mereka yakin dengan proses pilihan raya. Jika mereka tidak percaya dengan proses pilihan raya, mereka tidak akan keluar mengundi.

"Hakikat yang mereka keluar mengundi jelas membuktikan mereka mempercayai proses pilihan raya dan demokrasi," katanya. Beliau mengucapkan tahniah kepada rakyat Uzbekistan dan kerajaannya yang menggalakkan orang ramai melalui pelbagai saluran dan mendidik mereka untuk keluar mengundi serta CEC yang melakukan tugas dengan baik dan memainkan peranan yang komprehensif berhubung pilihan raya.

Mengenai peratusan pengundian tinggi, katanya malahan di Malaysia purata pengundian adalah hanya antara 73 dan 75 peratus.

"Disebalik sistem komunikasi baik, publisiti meluas dan (hakikat) rakyatnya berpendidikan dan tahu mengenai pilihan raya dan menanti-nantikan (pilihan raya), kita masih tidak mendapat 80 peratus," katanya.

Seorang lagi pemerhati Malaysia, S.Radhakrishnan, iaitu Setiausaha Kehormat Persatuan Undang-undang Asean cawangan Malaysia, berkata bagi sebuah negara muda seperti Uzbekistan, kadar peratusan pengundian itu wajar dipuji.

Dua lagi pemerahti dari Malaysia ialah Presiden Perdasama Datuk Moehamad Izat Emir dan peguam kanan Kamarudin Ahmad.

Timbalan Pengarah Jabatan Hubungan Antarabangsa, Kementerian Pertanian dan Sumber Air Uzbekistan, Zakhid A. Salikhov berkata kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha untuk memastikan warganya sedar akan pentingnya pilihan raya Parlimen.

"Ini merupakan wadah politik amat penting di mana rakyat kini boleh memilih pemimpin mereka," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kerajaan telah memberikan tumpuan khusus berhubung persiapan bagi pilihan raya Parlimen itu.

Laporan menyatakan pilihan raya Parlimen sebelum ini pada 2004 mencatatkan kadar pengundian 85.1 peratus. Uzbekistan mencatatkan kadar pengundian minimum kira-kira 30 peratus.

Empat parti yang bertanding ialah Parti Demokratik Rakyat, Parti Demokratik Sosial Adolat (Keadilan), Parti Demokratik Liberal (Pergerakan Usahawan dan Ahli Perniagaan) dan Parti Demokratik Milliy Tiklanish (Gerakan Nasional).

Menurut laporan berkenaan, Presiden Uzbekistan Islam Karimov, yang pada awal bulan ini menyifatkan pilihan raya itu sebagai satu ujian demokrasi, berkata pilihan raya itu menunjukkan Uzbekistan "sedang bergerak menuju sebuah masyarakat demokrasi."

Karimov memerintah Uzbekistan sejak dua dekad lalu selepas menjadi ketua Parti Komunis pada 1989 di bawah Soviet Union dan kemudian menjadi presiden selepas negara itu mencapai kemerdekaan pada 1991.

Uzbekistan, sebuah negara dengan keluasan 447,400 km persegi dikelilingi oleh Afghanistan, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan dan Turkmenistan.

Ia merupakan negara paling padat daripada lima republik Soviet di Asia Tengah dan kaya dengan gas dan minyak dan merupakan antara 10 negara pengeluar terbesar sumber itu di dunia dan pengeksport kedua terbesar kapas dan memiliki sumber uranium yang banyak.

Hubungan diplomatik Uzbekistan dengan Malaysia bermula pada 1992. - BERNAMA

Artikel Lain