suria

India Perlu Lebih Banyak Saintis Di Masa Depan, Kata Naib Presiden

NEW DELHI: India, sebuah daripada ekonomi yang sedang pantas berkembang di dunia, memerlukan lebih banyak saintis dan penyelidik.

Naib Presiden India Hamid Ansari berkata sains dan teknologi adalah instrumen yang penting dalam sebuah negara moden namun terdapat kekurangan penyelidik dalam bidang sains.

"Perlu diakui bahawa output saintifik kami hari ini daripada segi penyelidik dalam bidang sains asas tidak cukup bagi memenuhi keperluan.

"Ini mempunyai kesan langsung ke atas sumbangan kami kepada inovasi dan paten Ia tidak menguntungkan jika dibandingkan dengan negara yang setara dan pesaing kami di persada dunia.

"Salah satu sebabnya ialah kekurangan tumpuan kepada keutamaan yang seharusnya diberikan dalam usaha memburu bidang sains," kata Ansari pada Kongres Sains Kanak-kanak Kebangsaan ke-17, yang berlangsung di Gujarat.

Beliau berkata sektor bioteknologi, farmaseutikal, tenaga nuklear, angkasa dan industri berkaitan pertahanan yang semakin berkembang serta maju telah mewujudkan permintaan yang amat besar untuk siswazah sains di negara ini.

"Saya mendapat tahu ramai pelajar di kawasan bandar dan metropolitan yang meninggalkan pendidikan formal selepas persekolahan di peringkat menengah untuk bekerja di pusat panggilan dan industri perkhidmatan yang lain. Jika benar, ini adalah trend yang mesti disekat dan diubah," kata Ansari.

Bekalan tenaga kerja saintifik dan teknologi yang berkualiti tinggi adalah keperluan penting bagi mana-mana negara moden untuk menggunakan peluang dalam era sains dan teknologi, katanya.

Ansari berkata lebih banyak pelaburan dan insentif daripada sektor swasta seharusnya diberikan kepada pelajar muda bagi menggalakkan mereka meneruskan kerjaya dalam bidang sains. BERNAMA

Artikel Lain