suria

Pemerhati Malaysia Jangka Jumlah Pengundi Besar Dalam Pilihan Raya Uzbekistan

TASHKENT: Pemerhati Malaysia S. Raddhakrishnan menjangkakan jumlah yang keluar mengundi adalah besar bila Uzbekistan mengadakan pilihan raya parlimennya pada Ahad.

Setiausaha kehormat Persatuan Undang-undang Asean Malaysia itu, yang diundang buat kali kedua sebagai pemerhati bagi pilihan raya itu, berkata pada 2004 bilangan keluar mengundi amat menggalakkan.

"Bagi sebuah negara muda, jumlah keluar mengundi yang besar wajar disanjung dan saya jangka dapat melihat jumlah pengundi yang besar juga pada pilihan raya tahun ini," katanya kepada Bernama di sini pada Sabtu.

Beliau mengambil perhatian bahawa pilihan raya lepas berjalan dengan baik dan negara dengan populasi 27 juta orang itu dengan lebih 60 peratus adalah belia, mempunyai sistem pilihan raya yang baik.

Wartawan kanan Akimjon Adizov, yang mengkhusus dalam bidang ekonomi dan undang-undang berkata negara berkenaan mempunyai projek yang dikenali sebagai "Saya mengundi buat Kali Pertama".

Di bawah progam ini belia yang mengundi pertama kali bagi pilihan raya parlimen diberi penjelasan mengenai hak mereka dan pilihan raya dan prosesnya, kata beliau.

"Ibu bapa akan menggalakkan anak-anak mereka yang mengundi buat kali pertama menghadiri projek seumpama itu," katanya. Sementara itu, pelajar universiti Umida Allambergenova, 20, menunggu-nunggu untuk mengundi oleh kerana beliau ingin melihat negaranya diterajui oleh pemimpin berkebolehan supaya ia dapat maju.

"Keadaan negara ini bergantung pada pemimpin dan dasarnya," kata beliau.

Malaysia diwakili oleh delegasi empat anggota dipimpin oleh timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar untuk memerhati pilihan raya itu.

Dua lagi anggota delegasi ialah presiden Perdasama Datuk Moehamad Izat Emir dan peguam kanan Kamarudin Ahmad.

Empat rakyat Malaysia itu adalah sebahagian daripada Kumpulan Pemerhati Antarabangsa yang akan ditugaskan di republik itu bagi memantau dan mengendali keputusan pilihan raya untuk menentukan sama ada ia bebas dan adil.

Lebih 200 pemerhati dari 36 negara dan empat organisasi antarabangsa telah diundang.

Artikel Lain