suria

India Rampas 440kg Ketamin Bakal Dihantar Ke Malaysia

CHENNAI: Pihak berkuasa India berjaya memintas cubaan penghantaran konsainan 440 kilogram (kg) ketamin ke Malaysia di Pelabuhan Tuticorin di selatan India dan menahan tiga suspek berkaitan dengan penyeludupan.

Bertindak atas maklumat, Direktorat Risikan Hasil (DRI) di Pelabuhan Chennai merampas dadah itu yang dianggarkan bernilai RM32 juta di pasaran antarabangsa dan dibungkus serta diikrarkan sebagai produk makanan.

"Konsainan itu dicatatkan dalam dua bil perkapalan bagi dihantar ke Malaysia dan diikrarkan mengandungi garam iodin, kacang, kuih beras dan barangan lain," kata DRI dalam satu kenyataan.

Suspek berkenaan disyaki telah memalsukan dua bil perkapalan itu bagi 519kg garam iodin, seberat kira-kira 13 tan.

Namun pemeriksaan oleh DRI mendapati 22 daripada 510 beg, dibungkus sebagai garam iodin, mengandungi ketamine hidroklorida. Setiap beg seberat kira-kira 20kg. Menurut kenyataan itu, tiga suspek pertengahan umur itu, kesemuanya dari Chennai, kini ditahan reman, dan sebuah agensi eksport di bandar raya itu juga disiasat DRI.

Ini merupakan rampasan kedua terbesar dalam masa sebulan. Pada November lepas, DRI merampas 197kg ketamin juga untuk dihantar ke Malaysia di pelabuhan Chennai.

Dadah itu diikrarkan sebagai bawang merah dianggarkan bernilai RM14.5 juta. Ketamin yang biasanya digunakan di India sebagai anestetik veterinar, digunakan sebagai dadah pada parti secara meluas.

Dengan peningkatan permintaan dari pasaran Asia Tenggara, lebih banyak penyeludup kini terlibat menyeludup bahan itu yang boleh diperoleh dengan mudah di India dan dihantar melalui jalan laut. - BERNAMA

Artikel Lain