suria

Lelaki Sembunyi Dalam Tandas Kapal Terbang Untuk Ke Jaipur Dari Madinah

NEW DELHI: Seorang rakyat India yang berhasrat kembali ke kampung halamannya dari Arab Saudi menemui cara cukup mudah lagi murah untuk berlepas pulang ke tanah airnya, iaitu dengan hanya mengunci dirinya dalam tandas sebuah pesawat syarikat penerbangan Air India semasa pesawat berlepas.

Habib Hussein, 26, dari daerah Moradabad di Uttar Pradesh, utara India yang merupakan seorang petugas di lapangan terbang Madinah, mengambil keputusan untuk kembali ke kampung halaman selepas enam bulan bekerja kerana beliau tidak puas hati dengan tugasnya itu, menurut laporan akhbar Sunday Times.

Jumaat lepas Habib menaiki pesawat Airbus A330 untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dan terus mengunci dirinya dalam tandas pesawat itu selama 45 minit, sehingga kapal terbang itu berlepas.

Akhbar itu memetik kenyataan seorang saksi yang mengatakan bahawa Habib dilihat keluar dari tandas itu dan duduk di salah satu tempat duduk penumpang yang kosong.

Bagaimanapun beliau jelas kelihatan 'menonjol' apabila ketara berbeza berbanding jemaah haji yang lain disebabkan pakaiannya yang nampak berlainan daripada penumpang lain.

Pesawat khas haji itu membawa 273 penumpang dari Madinah ke Jaipur.

Di Jaipur, Habib yang sebelum ini adalah seorang petani, mengaku kepada polis yang dia sering tidak menerima gaji bulanan, dan majikannya memegang pasportnya.

Habib berkata beliau tidak ada cara lain, selain bersembunyi dalam kapal terbang untuk kembali ke India, menurut laporan Sunday Times.

Kini tindakan Habib yang menyelinap masuk dalam penerbangan itu mulai memeningkan pegawai syarikat penerbangan dan lapangan terbang dalam mencari langkah susulan yang perlu diambil.

Siasatan sedang dijalankan untuk mencari jawapan bagaimana petugas pesawat itu boleh terlepas pandang kemunculan penceroboh dalam penerbangan itu, manakala polis dikatakan sedang merancang untuk mengambil tindakan terhadap Habib dan syarikat penerbangan berkenaan. -BERNAMA

Artikel Lain