suria

Johor Teruskan Sumbangan Bantu Mangsa Bencana Tsunami Aceh

BANDA ACEH: Hampir lima tahun selepas bencana tsunami melanda Aceh, Asrama Anak Yatim Johor (AAYJ) di Desa Ajun Jeumpet di sini masih berdiri teguh menjadi saksi antara sumbangan kerajaan negeri Johor yang berterusan buat anak-anak mangsa bencana alam dari negara jiran itu.

Asrama yang dibuka pada Oktober 2005 khusus bagi anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat bencana di Aceh itu dibina oleh kerajaan negeri Johor di atas tanah wakaf berkeluasan 1,183 meter persegi.

Ia menempatkan 34 orang anak-anak yatim lelaki di sekitar Aceh dan tidak lama lagi sebuah bangunan baru akan didirikan di sini khusus bagi menempatkan anak-anak yatim perempuan pula.

Penyelaras AAYJ, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata asrama sedia ada kini hanya boleh memuatkan kira-kira 50 orang anak yatim lelaki sahaja dan bangunan baru asrama perempuan itu dijangka akan dibina di atas sebidang tanah berhampiran yang dibeli oleh kerajaan negeri Johor seluas 1,000 meter persegi.

"Sebuah bangunan baru akan dibina di sini bagi menempatkan asrama anak yatim perempuan, selepas kami mendapat peruntukan daripada kerajaan negeri tidak lama lagi," katanya kepada Bernama selepas majlis tahlil dan zikir bagi memperingati lima tahun tragedi tsunami di sini.

"Jika dilihat kepada anak-anak yatim yang diterima masuk ke sini ketika berumur antara lapan dan 10 tahun selepas bencana itu berlaku, kini mereka semua sudah menjangkau umur belasan tahun malah turut cemerlang dalam pendidikan dan agama," katanya yang dalam rangka lawatan sehari ke sini bagi meninjau perkembangan anak yatim di asrama itu.

Mohd Puad berkata anak-anak yatim di sini dijaga dan dididik oleh pengasuh tempatan terlatih yang mendapat pendedahan dan latihan mengenai penjagaan anak-anak yatim di beberapa AAYJ di negeri Johor.

Menurutnya asrama di sni merupakan asrama yang ke-10 milik kerajaan negeri Johor sehingga ini.

Katanya pihak AAYJ turut membawa kaunselor dan guru dari Malaysia untuk memberi pendedahan dan kaunseling kepada anak-anak yatim di sini malah ada di antara anak-anak yatim ini juga dibawa ke Malaysia bagi melihat sendiri sistem pendidikan dan penjagaan anak-anak yatim di Johor.

"Selain itu, asrama ini juga turut menerima kunjungan daripada pelajar-pelajar universiti tempatan sekitar Aceh untuk memberi motivasi kepada anak-anak ini," kata beliau yang juga anggota Parlimen Batu Pahat.

Katanya dengan adanya asrama ini, ia dapat mengeratkan lagi hubungan baik antara Indonesia dan Malaysia, khususnya negeri Johor.

Selain itu Mohd Puad berkata kerajaan negeri Johor turut menghulurkan bantuan bernilai kira-kira RM300,000 bagi membina sebuah masjid yang dinamakan sebagai Masjid Johor berdekatan asrama itu serta membaik pulih sebuah masjid di kawasan berkenaan. -BERNAMA

Artikel Lain