suria

Timbalan Pengerusi SPR Jadi Pemerhati Pilihan Raya Uzbekistan

TASHKENT: Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar menyifatkan tugas beliau sebagai pemerhati pada pilihan raya parlimen Uzbekistan Ahad lepas sebagai pengalaman yang sungguh berharga.

"Saya menganggapnya sebagai pengalaman yang amat berharga bagi anggota delegasi Malaysia yang dijemput menjadi pemerhati pada pemilihan itu kerana kami dapat melihat proses pilihan raya yang diadakan dan ini menjadikan kami lebih memahami proses demokrasi yang diamalkan di negara ini," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata SPR dan Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat Uzbekitan (CEC)telah memeterai satu aturan kerjasama pada 2005, yang melibatkan pertukaran lawatan, pengalaman dan latihan serta kegiatan lain dalam usaha memperkukuhkan proses demokrasi di Malaysia dan Uzbekistan.

"Kerjasama ini diadakan demi manfaat kedua-dua negara berkaitan proses demokrasi dan kegiatan pilihan raya," katanya.

Wan Ahmad mengucapkan terima kasih kepada CEC Uzbekistan bagi pihak delegasi Malaysia, yang dianggotai mereka daripada pelbagai latar belakang kehidupan seperti ahli perniagaan, ahli profesional seperti peguam dan pengamal media.

Delegasi Malaysia turut dianggotai setiausaha kehormat Persatuan Undang-undang Asean S. Radhakrishnan, presiden Perdasama Datuk Moehamad Izat Emir dan peguam kanan Kamarudin Ahmad, yang juga mempunyai latar belakang sebagai orang politik.

Mengenai aspek sistem pilihan raya Uzbekistan yang boleh dicontohi Malaysia, beliau berkata ia adalah peruntukan kuota sebanyak 30 peratus bagi wanita untuk menjadi calon.

"Pada pendapat saya, kita patut contohi aspek penyertaan wanita ini, yang kuotanya adalah tinggi iaitu 30 peratus. Ia memberi jaminan tentang penyertaan wanita dalam politik, dalam proses pilihan raya dan di parlimen serta dalam semua peringkat badan pembuat keputusan," katanya.

Beliau berkata ini sesuatu yang "menarik" memandangkan di kebanyakan negara, malah di Malaysia sendiri di mana jumlah pengundi wanita ialah 49 peratus dan pengundi lelaki 51 peratus, tidak terdapat peraturan seperti itu.

Menurut laporan, pindaan undang-undang itu menjamin 30 peratus calon pada pilihan raya di negara ini terdiri daripada wanita dan perubahan ini mungkin disambut baik oleh pemerhati antarabangsa.

Satu lagi perkara yang menarik perhatian Wan Ahmad ialah peruntukan 15 kerusi yang diberi secara automatik kepada Pergerakan Ekologi Uzbekistan dan perkara ini dilaksanakan ketika sikap prihatin terhadap isu alam sekitar begitu memuncak.

Laporan menyebut bahawa pindaan peraturan yang memperuntukkan kerusi secara automatik kepada pergerakan itu dibuat lebih kurang serentak dengan tindakan kerajaan mengkritik rancangan untuk membina projek tenaga elektrik hidro berskala besar di Krygyzstan dan Tajikistan, yang berjiran dengan Uzbekistan.

Kerajaan Uzbekistan dan media kerajaan mempersoalkan tentang kesan yang akan dialami alam sekitar sekiranya projek itu dilaksanakan.

Empat parti politik yang bertanding pada pilihan raya itu ialah People's Democratic Party, Adolat (Justice) Social Democratic Party, Liberal Democratic Party (Pergerakan Usahawan dan Ahli Perniagaan) dan Milliy Tiklanish (National Revival) Democratic Party.

Tiada parti pembangkang bertanding pada pilihan raya di Uzbekistan dalam tiga pilihan raya yang diadakan di negara ini sejak ia mencapai kemerdekaan daripada Soviet Union pada 1991. - BERNAMA

Artikel Lain