suria

Mercy Malaysia Perlu US$100,000 Untuk Projek Di Bihar

NEW DELHI: Mercy Malaysia, satu-satunya agensi bantuan kemanusiaan yang menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada mangsa banjir di kawasan pedalaman timur laut Bihar, berkata ia bersedia meneruskan projek tersebut sekiranya mendapat pembiayaan.

Mercy Malaysia menubuhkan Pusat Kesihatan Biratpur di daerah Saharsa untuk membantu merawat mangsa banjir yang melanda beberapa kampung di situ dan mungkin akan menghentikan operasi bulan depan kerana masalah kewangan.

"Mercy Malaysia berminat melanjutkan projek itu selepas bulan depan jika dana kami tidak terbatas," kata presidennya Dr Ahmad Faizal Perdaus kepada Bernama di sini.

"Jika ada penderma yang bermurah hati dari Malaysia atau masyarakat antarabangsa untuk program ini maka Mercy Malaysia akan pertimbangkan untuk melanjutkan operasi pusat itu," katanya.

Ratusan mangsa banjir, kebanyakannya ibu muda yang mengandung, kanak-kanak dan warga tua dari perkampungan sekitar daerah itu bergantung kepada pusat kesihatan itu untuk menerima rawatan.

Mercy Malaysia memerlukan kira-kira US$100,000 (RM342,450) untuk membiayai kos operasi pusat berkenaan untuk selama setahun lagi.

Dr Faizal berkata pihaknya pada akhirnya akan menyerahkan projek itu kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan atau sebuah agensi kerajaan untuk menguruskan pusat kesihatan tersebut.

Mercy Malaysia adalah antara bilangan kecil agensi bantuan antarabangsa yang memasuki kawasan pedalaman Bihar pada Ogos 2008 apabila banjir 'Kosi' melanda wilayah utara India itu, dengan hampir dua juta penduduk hilang tempat tinggal.

Sejak itu, agensi dari Kuala Lumpur itu telah menyediakan pelbagai bantuan perubatan kepada penduduk kampung dan membelanjakan hampir US$250,000 (RM856,125) untuk menubuhkan klinik bergerak, mengedar ubat-ubatan dan keperluan asas kepada penduduk miskin. - BERNAMA

Artikel Lain