suria

Pesawat A380 Qantas Dihentikan Sementara

MELBOURNE: Penerbangan sebuah pesawat A380 Qantas, yang baru beberapa hari menyertai perkhidmatan syarikat itu, telah dihentikan sementara, ketika hendak berlepas ke Los Angeles pada sebelah tengahari hari ini menyebabkan 443 penumpang terkandas.

Menurut Australian Associated Press (AAP), para penumpang kini perlu hadapi kelewatan selama 23 jam kerana masalah mekanikal yang memaksa pelepasan pesawat itu dijadual semula kepada jam 11.00 pagi esok.

Pada peringkat permulaan, Penerbangan QF93 itu terlewat satu setengah jam disebabkan masalah pengukur bahan api. Masalah timbul semasa pasawat itu sedang menuju ke landasan untuk berlepas dan memaksa pelepasan itu dibatalkan.

Para penumpang kekal di atas pesawat sambil petugas penyelenggaraan meneliti masalah berkenaan. Mereka tidak dibenarkan keluar pesawat kerana prosedur pemeriksaan keselamatan bagi penerbangan ke Amerika Syarikat, yang akan menyukarkan langkah pemeriksaan semula penumpang.

"Pada jam 5.15 petang, Qantas telah membatalkan penerbangan itu apabila mendapati kru penerbangan itu akan melepasi had masa bertugas," kata AAP.

Para penumpang akan ditempatkan di hotel pada malam ini atau mendapat pengangkutan percuma pergi dan balik ke rumah masing-masing.

Pesawat itu merupakan yang terbaharu menyertai perkhidmatan Qantas. Ia diserahkan pada akhir Disember.

Masalah pengukur bahan api tidak pernah dialami oleh Qantas sebelum ini. - BERNAMA

Artikel Lain