suria

Malaysia, Singapura Puas Hati Dengan Kemajuan Perbincangan Pulau Batu Puteh

SINGAPURA: Malaysia dan Singapura berpuas hati dengan kemajuan yang dicapai dalam perbincangan berhubung pelaksanaan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai Pedra Branca atau yang dikenali sebagai Pulau Batu Puteh oleh rakyat Malaysia, Terumbu Karang Tengah dan Terumbu Karang Selatin, bentukan marin yang terletak di perairan antara kedua-dua negara.

Pegawai-pegawai kanan kerajaan dari kedua-dua negara berjiran bertemu di sini pada Selasa bagi menghalusi beberapa perkara tentang kajian hidrografik yang akan dilakukan secara bersama, maritim dan pengurusan ruang udara serta perikanan di sekitar bentukan marin berkenaan, demikian menurut kenyataan bersama Kementerian Luar Negeri kedua-dua negara hari ini.

Pada mesyuarat itu, delegasi Malaysia diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Tan Sri Rastam Mohd Isa dan pihak Singapura oleh Setiausaha Tetap Kementerian Luar Peter Ho.

Kedua-dua pihak mengulangi komitmen mereka untuk mematuhi keputusan ICJ dan melaksanakan sepenuhnya keputusan berkenaan dengan meneruskan perbincangan sebagai susulan kepada mesyuarat kedua Jawatankuasa Teknikal Bersama Malaysia Singapura (MSJTC) yang diadakan di Putrajaya pada 20 Ogos lepas.

Pada 23 Mei tahun lepas, ekoran pertikaian berlarutan antara kedua-dua negara mengenai tiga bentukan marin berkenaan, ICJ di The Hague memutuskan bahawa Pulau Batu Puteh menjadi milik Singapura dan Terumbu Karang Tengah dimiliki Malaysia. Kedaulatan terhadap Terumbu Karang Selatin menjadi hak negara yang memiliki perairannya.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat berkenaan menyemak tugas-tugas yang dilakukan Jawatankuasa Kecil Mengenai Kerja Ukur Bersama dan bersetuju bahawa jawatankuasa kecil itu perlu meneruskan perbincangan pada minggu-minggu berikutnya bagi memuktamadkan persediaan teknikal berhubung Kajian Hidrografik yang dijalankan secara bersama oleh kedua-dua negara.

Mesyuarat itu turut menyemak kerjakerja Jawatankuasa Kecil Mengenai Pengurusan Maritim dan Ruang Udara dan Perikanan.

Kedua-dua negara juga bersetuju mesyuarat akan datang diadakan dalam masa antara satu dan dua bulan di Malaysia. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain