suria

Malaysia Sahkan Penyertaan Pada "Taste Of London"

LONDON: Malaysia telah mengesahkan penyertaan sebagai negara jemputan pada "Taste of London", yang akan diadakan di Regent's Park di sini dari 17 hingga 20 Jun, kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom dan Ireland Utara Datuk Abd Aziz Mohamed.

Katanya persediaan untuk penyertaan pada acara itu, yang mengumpulkan pelbagai restoran London yang terkenal di dunia pada festival makanan dan minuman terbuka yang unik, sedang dilakukan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dengan kerjasama Pelancongan Malaysia dan agensi-agensi lain yang berkaitan.

Sebagai permulaan sebelum "Taste of London" itu, katanya Malaysia telah menyertai "Taste of Christmas" dari 4 hingga 8 Disember tahun lepas di Excel di sini.

Tiga restoran terkemuka Malaysia Awana, Jom Makan dan Delima telah menyertai acara itu yang menampilkan pelbagai hidangan terkenal Malaysia, katanya pada majlis pelancaran Kempen Malaysia Kitchen di London 2010, di Jom Makan Westfield di sini Isnin.

Kempen itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dalam rangka lawatan rasmi lima hari, dengan melancarkan laman web dan logo Malaysia Kitchen bagi London.

Malaysia Kitchen merupakan program yang bertujuan mempromosikan restoran-restoran Malaysia di luar negeri, bagi membolehkan orang ramai dari pelbagai bahagian di dunia untuk bersama-sama merasai kepelbagaian hidangan Malaysia yang unik.

Abd Aziz berkata fokus promosi tahun ini adalah London dan New York berdasarkan kelebihan jumlah restoran di kedua-dua pasaran itu.

Pada masa ini, katanya terdapat 62 restoran Malaysia di United Kingdom dan 120 di Amerika Syarikat.

"Kami yakin jumlah ini akan memberikan peluang yang baik untuk mempromosikan restoran Malaysia di kedua-dua bandar raya ini. Kami percaya kedua-dua bandar raya ini boleh menjadi pemangkin untuk mempromosikan dan mendapatkan keyakinan daripada pengendali restoran untuk menambah lebih banyak hidangan Malaysia dalam menu mereka," katanya.

Beliau berkata penduduk di kedua-dua bandar raya ini akan menjadi penentu trend bagi hidangan Malaysia untuk mendapat peluang mencapai kejayaan yang lebih besar.

"Malaysia boleh menjadi selera Asia yang baru," katanya.

Kempen Malaysia Kitchen akan mempromosikan restoran-restoran terlibat dalam usaha perhubungan awam termasuk ulasan oleh personaliti terkenal, penulis pelancongan, penulis novel dan penilaian oleh agensi rating restoran antarabangsa.

Abd Aziz berkata portal Malaysia Kitchen juga diwujudkan bagi menyenaraikan restoran-restoran Malaysia di seluruh dunia dan bertindak sebagai laman sosial bagi pengunjung untuk berinteraksi dengan restoran dan masakan Malaysia.

Ia juga akan memaklumkan mengenai acara-acara antarabangsa berkaitan makanan seperti pameran perdagangan, program masakan dan demonstrasi, katanya sambil menambah bahawa Malaysia Kitchen juga menyediakan akses bagi bantuan kewangan menerusi Exim Bank Malaysia untuk restoran-restoran berkembang dan memulakan operasi di luar negeri.

Promosi ini akan diperluaskan kepada semua jenis restoran daripada restoran mewah, bistro, kafe makanan segera dan bawa pulang bagi menangani semua jenis pasaran, katanya.

"Ini akan termasuk tetamu kehormat, eksekutif muda, pelajar, pelancong, keluarga dan pekerja pejabat. Dengan merangkumi semua peringkat, kami percaya kesan limpahan bagi kemasukan pelancong dan pasaran untuk produk makanan Malaysia akan terus meningkat," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain