suria

11 Cedera dalam Dua Serangan Bom Berasingan Di Selatan Thailand

PATTANI: Dua serangan bom berasingan mencederakan 11 orang dalam kejadian di dua pasar di selatan sempadan wilayah Pattani dan Yala hari ini, lapor Agensi Berita Thailand (TNA).

Letupan pertama menggegarkan kedai teh di pasar tersebut dalam daerah Pattani mencederakan lima orang.

Bom menggunakan alat kawalan jauh itu diletakan di sebuah motosikal yang tidak mempunyai nombor pendaftaran.

Seorang lelaki dalam lingkungan umur 30-an dipercayai meletuskan bom tersebut dengan menggunakan telefon bimbit miliknya selepas dipercayai meletakkan kenderaan itu di lokasi kejadian.

Sementara tiga anggota tentera dan tiga rakyat tempatan turut tercedera ketika berada di hadapan pintu masuk di sebuah pasar di kawasan pekan Yala.

Bom yang seberat dua kilogram itu diletakkan dalam kotak besi berdekatan dengan kedai tersebut.

Kawasan berkenaan merupakan lokasi rondaan pihak keselamatan setiap hari yang ditugaskan oleh pihak tentera.

Dipercayai, insiden tersebut dilakukan oleh pemberontak yang bertindak balas ekoran ketegasan pasukan keselamatan untuk memastikan setiap pemandu mempunyai pelekat khas pada kenderaan mereka.

Pemberontakan berterusan itu yang berlaku di tiga wilayah bersempadan iaitu Yala, Pattani, dan Narathiwat mengakibatkan kira-kira 3,700 orang terkorban sejak tahun 2004.- BERNAMA

Artikel Lain