JAKARTA: Malaysia dan Indonesia akan memperluaskan kerjasama dalam bidang perikanan dan kelautan terutamanya dalam dua bidang pertanian bukan makanan yang berimpak tinggi, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.
Kedua-dua negara itu, katanya mahu bekerjasama dalam pengeluaran rumpai laut yang banyak terdapat di Sulawesi selain dalam perusahaan ikan hiasan.
Kerjasama itu termasuklah dalam bidang bio-sekuriti bagi menentukan ikan-ikan yang dihasilkan dapat dieksport dan diterima untuk pasaran negara-negara Eropah.
"Kita melihat kedua-dua bidang ini mempunyai potensi cukup besar untuk menjalin kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pemprosesan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan dengan Menteri Kelautan dan Perikanan Indonesia Ir Fadel Muhammad di sini.
Kedua-dua negara itu juga bersetuju untuk bekerjasama dalam usaha membantu menjaga kesejahteraan dan kebajikan nelayan kedua-dua negara yang terlibat dalam masalah penangkapan ikan merentasi sempadan perairan Malaysia-Indonesia.
Sementara itu, Fadel berkata peningkatan kerjasama kedua-dua negara dalam bidang perikanan adalah amat strategik kerana Malaysia dan Indonesia merupakan anggota D-8 yang telah bersetuju menetapkan kelautan serta perikanan sebagai salah satu teras dalam usaha meningkatkan jaminan makanan.
"Peningkatan kerjasama kedua-dua negara dalam bidang perikanan juga bertujuan menghadapi Perjanjian Perdagangan Bebas Asean-China (Asean-China FTA) dan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Asean-Jepun (AJCEP)," katanya.
Katanya volume eksport Indonesia dalam bidang perikanan ke Malaysia ialah 57,159 tan pada tahun 2008 dengan nilai AS$62.7 juta.
Noh yang mengetuai delegasi pegawai kanan kerajaan dan pemimpin tinggi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sedang mengadakan lawatan seminggu ke Indonesia.
Ia susulan kepada lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak ke Sulawesi pada akhir tahun lepas mengenai potensi kerjasama dan pelaburan dalam bidang pertanian. - BERNAMA


