suria

Kerjasama Malaysia-Indonesia Dalam Pertanian Menuju Dimensi Baru

GORONTALO (SULAWESI): Hubungan Malaysia dan Indonesia dalam bidang pertanian maju selangkah lagi dalam dimensinya melalui perluasan kerjasama di sektor baru itu yang berpotensi menguntungkan kedua-dua pihak.

Kerjasama itu yang antara lainnya membabitkan soal penyelidikan dan pembangunan (R&D), teknologi serta pembinaan kapasiti dalam industri asas tani, herba dan hortikultur dilihat berupaya menjaga kualiti produk pertanian di kedua-dua negara, untuk terus bersaing di peringkat serantau dan gobal.

Selain kedua-dua negara juga bersetuju untuk memperluaskan kerjasama dalam soal menjaga kebajikan dan kesejahteraan nelayan yang menghadapi masalah berkaitan aktiviti menangkap ikan di kawasan lintas sempadan perairan kedua-dua negara itu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar yang sedang dalam rangka lawatan kerja selama seminggu ke Indonesia sejak Rabu lepas, gembira dengan hasil perbincangan yang diadakan dengan pihak pentadbiran kerajaan negara ini di peringkat pusat, wilayah (provinsi) dan daerah (kabupaten) mengenai kerjasama dan pelaburan dalam bidang pertanian.

Beliau dan delegasi pegawai-pegawai kanan kementerian itu serta pemimpin kanan sebuah syarikat berkaitan kerajaan, berada di sini untuk meningkatkan kerjasama serta merintis peluang pelaburan dan perniagaan bidang pertanian bagi syarikat-syarikat dari Malaysia di Indonesia.

"Saya melihat potensi peluang-peluang perniagaan syarikat-syarikat dari Malaysia melabur dalam bidang pertanian di republik ini ada. Bidang-bidang ini termasuklah penternakan lembu, tanaman padi dan industri perikanan dan kelautan," katanya.

Pada lawatan ini, Noh diiringi Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Mohd Mokhtar Ismail, Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Datuk Roseley Khalid, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Abdul Aziz Jamaluddin, Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Datuk Junaidi Che Ayub dan Ketua Pengarah Mardi Datuk Dr Abd Shukor Abd Rahman.

Menteri itu juga meminta para pegawai kementerian tersebut membuat susulan berhubung dasar dan peraturan berkaitan pertanian di Indonesia untuk dijadikan panduan jelas kepada pelabur-pelabur di Malaysia.

Lawatan beliau dan rombongan adalah susulan kepada lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Sulawesi Selatan pada November lepas, yang pada ketika itu menegaskan bahawa Malaysia sedang mengkaji secara serius kerjasama dalam bidang pertanian untuk tujuan jaminan makanan dan sekaligus membantu meningkatkan pendapatan petani di Sulawesi Selatan.

Delegasi Malaysia telahpun melawat Makassar di Sulawesi Selatan di mana Noh telah menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Marditech, sebuah anak syarikat milik penuh Mardi, dengan Persatuan Petani Rumput Laut Indonesia (Aspperli), bagi membantu persatuan itu meningkatkan mutu rumpai laut yang dihasilkan petaninya untuk pasaran pengilang di Malaysia.

Selain rumpai laut, di mana Sulawesi merupakan pengeluar terbesar dunia ketika ini, Sulawesi Selatan juga mempunyai kawasan tanaman padi, termasuk padi organik yang ditawarkan untuk jualan kepada Malaysia.

Sementara itu Gorontalo ialah sebuah wilayah di bahagian utara Sulawesi, yang terletak di antara Sulawesi Utara dan Sulawesi Tengah, juga merupakan kawasan pertanian yang menumpukan kepada kegiatan tanaman jagung bagi makanan haiwan, padi, kelapa dan ternakan lembu.

Selepas ini Noh dan rombongan akan ke Bandar Lampung, di Sumatera bagi meninjau industri ternakan lembu di kawasan itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain