suria

Najib Harap FTA Malaysia- India Dapat Dimuktamad Akhir Tahun Ini

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berharap rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-India dapat dipercepatkan agar dapat dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini.

"Saya berharap untuk melihatnya (dimuktamadkan). Saya diberitahu terdapat beberapa reaksi kurang baik daripada satu daripada negeri anda dalam hal FTA Asean dengan India," kata beliau dalam satu temu bual dengan sekumpulan 10 wakil media dari India di pejabatnya di sini pada Isnin lepas.

Disebabkan isu berkenaan, Najib berkata sebarang perbincangan lanjut berhubung FTA yang serupa tidak menjadi keutamaan buat sementara waktu.

"Saya harap kini masa yang sesuai bagi kami untuk mengaktifkan semula perbincangan dengan India. Bagi pihak kami, kami mahu ia dimuktamadkan pada akhir tahun ini," katanya.

Bagaimanapun, Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata beliau tidak pasti sama ada ia dapat dilaksanakan, "tetapi kami akan cuba menepati tarikh akhir itu."

Najib, yang akan mengadakan lawatan rasmi ke India mulai 19 hingga 23 Jan ini bagi memperluaskan dan mengeratkan kerjasama dua hala sedia ada, ditanya mengenai pendirian Malaysia terhadap FTA itu.

Najib kemudiannya menyoal balik wakil media berkenaan sama ada wujudnya minat untuk FTA di India.

Jawapan umum daripada wakil media itu ialah "ya dan tidak."

"Selalunya terdapat beberapa pertimbangan domestik. Saya akan membangkitkannya apabila saya ke Delhi," kata Perdana Menteri.

Malaysia dan India memulakan rundingan FTA dua hala pada Februari 2008.

Rundingan itu tidak menjadi keutamaan setelah India dan Asean memberi tumpuan terhadap menyelesaikan perjanjian barangan dalam perdagangan Asean-India.

Malaysia telah melaksanakan tiga FTA serantau Asean berkuatkuasa 1 Jan, 2010, termasuk FTA Asean-India dalam barangan.

Dua lagi ialah pelaksanaan penuh FTA Asean (AFTA), dan FTA Asean-Australia-New Zealand (AANZFTA).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed pada Oktober lepas berkata: "Sekarang ini, setelah muktamad (FTA Asean-India), saya mengharapkan para pegawai saya akan mempercepatkan rundingan FTA dua hala."

Dalam ucaptamanya pada seminar mengenai "FTA Asean-India Dalam Barangan: Peluang yang Muncul Untuk Penglibatan Perniagaan Malaysia-India" ketika itu, Mustapa berkata Malaysia juga berusaha untuk meningkatkan perdagangan dua hala melalui Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Malaysia-India.

"Saya menyeru pegawai-pegawai kedua-dua pihak supaya menjadikan penyelesaian perjanjian Malaysia-India sebagai satu keutamaan. Ini akan membolehkan kita mencapai tahap integrasi ekonomi yang lebih lagi yang memberi faedah kedua-dua pihak," katanya.

Menurut perangkaan, India merupakan rakan dagang global ke-12 terbesar Malaysia tahun lepas dan terus menjadi rakan dagang terbesar negara di Asia Selatan.

Jumlah dagangan Malaysia dengan India berkembang sebanyak 32.7 peratus kepada AS$10.5 bilion pada 2008 daripada AS$7.9 bilion pada 2007.

Eksport ke India berjumlah AS$7.4 bilion, peningkatan sebanyak 26.5 peratus daripada tahun sebelumnya, manakala import dari India berjumlah AS$3.0 bilion, naik 50.6 peratus.

Jumlah dagangan antara Malaysia dan India bagi tempoh Januari hingga Ogos 2009 susut kepada AS$4.6 bilion daripada AS$7.1 bilion bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Pelaburan India di Malaysia tahun lepas berjumlah AS$48.4 bilion, meningkat daripada AS$850 juta pada 2007.

Pelaburan berkenaan adalah dalam tekstil dan produk tekstil, kayu dan barangan kayu, kimia dan produk kimia, jentera dan peralatan enjin serta produk fabrikasi logam.

Mengenai soalan berhubung cadangan China supaya renminbi menjadi mata wang rizab antarabangsa, Najib berkata:, "Pada masa ini, peranan dolar AS masih diakui sebagai rizab antarabangsa. Kami tidak menyatakan yang kami mahu mata wang lain menggantikan dolar. Apa yang kami mahu ialah kestabilan dalam sistem kewangan.

"Tetapi terdapat kemungkinan perdagangan dalam mata wang lain berbanding dolar AS. Ia merupakan suatu yang kami amat senangi.

Dalam lain perkataan, dua hala, perdagangan dan kontrak boleh dilaksanakan atas dasar mata wang yang dipersetujui secara bersama, yang bermakna tidak semestinya dalam dolar AS tetapi boleh dalam mata wang tempatan, katakan ringgit dan renminbi. Kami sedang berusaha atas dasar berkenaan."

China dikatakan bakal mengatasi AS sebagai kuasa ekonomi utama. BERNAMA

Artikel Lain