suria

Malaysia Mahu Dapat Lebih Banyak Pelaburan British Dalam Aeroangkasa

LONDON: Malaysia mahukan lebih banyak pelaburan British dalam industri aeroangkasa dan sektor perkhidmatan kewangan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata Malaysia merupakan lokasi berdaya maju untuk pembuatan komponen, penyelenggaraan dan baik pulih pesawat untuk rantau terbabit selain pasaran global.

"Syarikat aeroangkasa di United Kingdom patut mengambil peluang terhadap kewujudkan Pusat Aeroangkasa Antarabangsa Malaysia yang ditubuhkan kerajaan bagi membangunkan Malaysia sebagai pusat aeroangksa serantau menjelang 2015," katanya semasa pertemuan dengan 16 pelabur British di sini.

Muhyiddin yang kini dalam rangka lawatan lima hari ke Britain mulai Ahad, berkata kerajaan Malaysia sudah mengumumkan insentif percukaian yang komprehensif, yang meliputi pengecualian dan peruntukan cukai untuk meningkatkan lagi pertumbuhan industri aeroangksa di Malaysia.

Sektor perindustrian Malaysia kini di peringkat yang lebih tinggi, memberi tumpuan terhadap menarik pelaburan berkualiti dan berteknologi tinggi, intensif modal, bernilai tambah tinggi, operasi berintensifkan kemahiran dan berpengetahuan, menggabungkan aktiviti seperti reka bentuk serta pembangunan dan penyelidikan serta program pembangunan.

"Sektor keutamaan kami ialah elektronik canggih, teknologi maklumat dan komunikasi, mesin dan peralatan, bioteknologi, peranti perubatan dan tenaga boleh diperbaharui," katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan sudah mengumumkan langkah-langkah liberalisasi tambahan dalam sektor perkhidmatan, yang meliputi peningkatan penyertaan ekuiti asing dalam sektor perbankan dan insurans.

Beliau berkata Bank Negara Malaysia juga sudah menandatangani memorandum persefahaman dengan UK Trade and Investment, sebuah agensi kerajaan, bagi mempromosi Kewangan Islam dan hubungan perniagaan antara United Kingdom dan institusi kewangan Malaysia.

"Berdasarkan minat yang semakin meningkat dalam perbankan Islam, bank-bank British dipelawa menjalin usaha sama dengan bank-bank Malaysia dalam perkhidmatan kewangan Islam bagi memasuki pasaran kewangan, bukan sahaja di rantau Asean, malah pasaran Timur Tengah," katanya.

Kerajaan juga mengumumkan pemansuhan garis panduan pelaburan yang diurus oleh Jawatankusa Pelaburan Asing dalam urusan pegangan ekuiti, panggabungan, pengambilalihan dan pemerolehan hartanah dan dana yang dikumpul oleh syarikat senaraian, katanya.

Muhyiddin berkata pemansuhan itu akan mengukuhkan daya tarikan Malaysia sebagai lokasi untuk menjalankan peniagaan dan pelaburan bagi rakyat Malaysia dan asing.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata kerajaan juga sedang berunding dengan para penyedia perkhidmatan bagi mengenal pasti subsektor perkhidmatan tambahan untuk diliberalisasikan.

Beliau berkata ia dilakukan selari dengan komitmen Malaysia terhadap Asean dan Pertubuhan Perdagangan Dunia bagi meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai lokasi pelaburan yang kompetitif untuk sektor perkhidmatan.

Mengenai kedudukan serantau berikutan peralihan Malaysia daripada bergantung terhadap pembuatan kepada ekonomi berorientasikan perkhidmatan, Muhyiddin berkata kerajaan sedang mempromosikan penubuhan kemudahan serantau.

Antaranya ialah ibu pejabat operasi, pusat pemerolehan antarabangsa dan pusat pengedaran serantau dengan insentif menarik ditawarkan kepada pelabur yang membuka operasi seperti itu.

Setakat ini, kira-kira 2,600 kemudahan serantau sudah membuka operasi di Malaysia, termasuk 53 dari United Kingdom.

Muhyiddin berkata Malaysia juga muncul sebagai hab penting dalam perkhidmaan perkongsian, pusat data, pejabat sokongan dan pusat perkhidmatan pelanggan.

Mengenai pelancongan kesihatan, beliau berkata kerajaan juga mempromosikan industri pelancongan penjagaan kesihatan dengan menawarkan insentif kepada pelabur dan usahawan.

"Ia termasuk menukar status pesakit asing yang memasuki Malaysia yang menjalani rawatan perubatan kerana kecemasan daripada Visa Ketibaan kepada pas lawatan sosial," katanya.

Mengenai faktor tarikan, Timbalan Perdana Menteri berkata Malaysia telah menyediakan dan akan terus menawarkan kestabilan sosial dan politik, asas ekonomi yang kukuh bagi memastikan momentum untuk pertumbuhan ekonomi dan perniagaan, sokongan dan kerjasama sektor awam yang padu dan dasar mesra pelabur, tenaga kerja berproduktiviti tinggi dan hubungan dagangan dunia.

Faktor lain ialah penawaran pelbagai jenis insentif fiskal dan bukan fiskal termasuk insentif prapakej khusus untuk projek dan aktiviti sasaran yang dikenal pasti oleh kerajaan untuk pembangunan, kata Muhyiddin yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.- BERNAMA

Artikel Lain