Berus gigi lubuk bakteria, kuman... Jangan kongsi antara 4 cara terbaik menggunakannya

Jika bulu berus gigi sudah haus, tukarlah yang baharu.

RAMAI yang terlepas pandang tentang penjagaan berus gigi wahal ia adalah benda yang digunakan setiap hari agar mulut kita sentiasa segar dan bersih.

Seperti mana kita menjaga kebersihan mulut, berus gigi juga perlu dibersihkan agar tiada kuman atau bakteria yang melekat padanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Hentikanlah salam penumbuk, ia juga boleh jadi penyebab penyebaran Covid-19 tanpa disedari

Menurut doktor gigi, Dr. Karyn Dahn, merendam kepala berus gigi di dalam air panas sudah memadai bagi memastikan semua kuman dan bakteria yang melakat padanya terhapus.

Dr. Karyn turut berkongsi empat tip lain menjaga berus gigi agar ia dapat membersihkan gigi dan mulut dengan efektif.



Sebaik-baiknya tukar berus gigi setiap tiga bulan sekali.

1. Periksa berus gigi

Berus gigi sepatutnya kelihatan bersih selain bulunya dalam keadaan lurus. Kita perlu perhatikan jika bulu berus berubah warna atau terdapat kotoran.

Jika semua tanda-tanda itu ada, maka sudah tiba masanya kita mengganti berus gigi yang baharu.

2. Buang jika ragu-ragu

Dr. Karyn memberitahu tempoh menggunakan sesuatu berus gigi bergantung kepada individu namun sebaik-baiknya ia diganti setiap tiga ke empat bulan.

"Jika anda melihat bulunya sudah mulai rosak dan kusut, maka ganti yang baharu," kata Dr. Karyn.

Dr. Karyn juga menyarankan buang berus gigi yang digunakan ketika sakit atau terkena jangkitan berkaitan mulut. Ini bagi memastikan bakteria hidup yang melekat pada berus gigi tidak melekat dalam mulut.



Kita perlu menjaga kebersihan berus gigi kerana ia adalah lubuk pertumbuhan bakteria dan kuman.

3. Jangan kongsi berus gigi

Bayangkan jika anda berkongsi berus gigi dengan orang lain walaupun keluarga sendiri dan bakteria daripada individu itu berpindah kepada anda?

Atas sebab itu, kita tidak digalakkan untuk berkongsi berus gigi terutamanya kanak-kanak. Berus gigi juga tidak sepatutnya diletakkan ditempat sama dengan berus gigi lain.

Ini kerana bulu berus mungkin bersentuhan dengan berus gigi yang lain dan bakteria boleh berpindah dan melekat padanya.

4. Biar berus gigi terkena udara

Simpan berus gigi selepas digunakan di ruang terbuka kerana jika menyimpannya di tempat tertutup ia dapat meningkatkan pertumbuhan bakteria dan boleh menyebabkan sakit mulut seperti radang gusi.

Jika kita berasa ragu-ragu dengan berus gigi sendiri, adalah lebih baik ia dibuang dan gantikan dengan yang baharu.

Dr. Karyn turut menyarankan agar kita memiliki dua berus gigi dalam satu-satu masa agar ia boleh digunakan secara berganti-ganti.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain