Rocky mati selepas dipercayai terjerut dengan tali ketika insiden pergelutan berlaku pada 29 Julai lalu.
ISU kematian anjing dikenali sebagai Rocky yang tular di media sosial terus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.Di sebalik desakan supaya keadilan ditegakkan, ramai dilihat bertindak melampaui batas dengan menyebarkan maklumat peribadi individu dikaitkan dengan kes berkenaan seperti gambar wajah, nombor kad pengenalan dan alamat rumah di media sosial. Malah, ada dalam kalangan selebriti dan pempengaruh yang kononnya mahu menegakkan keadilan turut berkongsi profil individu berkenaan kepada jutaan pengikut mereka demi meraih perhatian.Penasihat Biro Undang-Undang Pertubuhan Kebangsaan Amal Islamiah Laksamana Malaysia (Laksamana Malaysia), Nizam Zakaria berkata, tindakan sedemikian boleh mengundang pelbagai implikasi undang-undang.Menurutnya, netizen tidak sepatutnya mengambil tugas pihak berkuasa atau menjadi 'hakim' dengan menjatuhkan hukuman hanya berdasarkan emosi. Nizam turut mempersoalkan sama ada golongan 'keyboard warrior' merasakan diri mereka kebal di sebalik skrin telefon sehingga bebas menghukum sesiapa sahaja."Perbuatan menyebarkan maklumat peribadi atau doxxing bukanlah satu bentuk keadilan.ARTIKEL BERKAITAN: Siasatan kes kematian Rocky sudah lengkap, polis tunggu arahan Timbalan Pendakwa RayaARTIKEL BERKAITAN: Operasi MBDK ikut SOP, tindakan pemilik punca Rocky tercekik"Sebaliknya, tindakan itu boleh menjadi kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998."Menggunakan internet untuk mengganggu, mengancam atau merangsang kebencian terhadap seseorang boleh menyebabkan individu yang menyebarkan hantaran berdepan denda sehingga RM50,000 atau hukuman penjara," katanya.Selain itu, tindakan melabel seseorang sebagai 'pembunuh' atau membuat tuduhan melampau sebelum sebarang keputusan mahkamah juga boleh dianggap sebagai fitnah berat.Dari sudut undang-undang sivil, pegawai PBT berkenaan berhak memfailkan saman fitnah terhadap individu yang menyebarkan tuduhan tersebut.Menurut Nizam, selebriti dan pempengaruh yang mempunyai ramai pengikut lazimnya menjadi sasaran paling mudah kerana impak penyebaran mereka jauh lebih besar.Dia turut mengingatkan supaya orang ramai tidak memandang ringan kemungkinan menerima notis tuntutan ganti rugi bernilai ratusan ribu ringgit akibat tindakan sendiri.Rocky dipercayai mati selepas terjerut dengan tali ketika berlaku pergelutan antara individu yang mengaku sebagai pemiliknya dengan anggota pihak berkuasa tempatan (PBT).Pada masa sama, penyebaran alamat rumah pegawai terbabit turut disifatkan sebagai pencerobohan privasi yang boleh mengancam keselamatan mangsa dan ahli keluarganya."Menggalakkan orang ramai menyerang, mengancam atau menimbulkan ketakutan terhadap seseorang juga boleh dikategorikan sebagai ugutan jenayah di bawah Seksyen 503 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan."Kesalahan itu membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun jika disabitkan," katanya.Kata Nizam, tindakan yang didorong emosi sehingga melanggar undang-undang bukan lagi sekadar isu sivil, sebaliknya boleh menjejaskan masa depan sendiri.Dalam pada itu, dia berkata pegawai PBT yang menjadi mangsa buli siber dan fitnah masih dilindungi undang-undang.Mereka disaran menyimpan semua bukti termasuk tangkap layar hantaran, komen serta profil individu yang terlibat."Laporan polis dan laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga wajar dibuat berhubung ancaman keselamatan serta pencerobohan privasi."Tindakan undang-undang boleh diambil dengan mendapatkan khidmat peguam terhadap individu yang dikenal pasti," jelasnya.Nizam turut mengingatkan perasaan simpati terhadap haiwan sememangnya boleh difahami, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk melanggar undang-undang.Orang ramai juga diingatkan supaya berfikir panjang sebelum mengeluarkan ugutan atau menyebarkan maklumat peribadi orang lain kerana setiap tindakan mempunyai akibat dari sudut undang-undang."Biarlah polis menjalankan siasatan dan mahkamah membuat keputusan kerana undang-undang diwujudkan untuk semua, bukannya ditentukan oleh suara paling lantang di media sosial," katanya.Untuk rekod, Rocky disahkan mati dalam kejadian pada 29 Julai lalu ketika operasi menangkap anjing liar dijalankan hasil kerjasama antara Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan penduduk setempat di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang.Insiden itu mencetuskan perhatian ramai selepas rakaman video operasi berkenaan tular di media sosial.Susulan penularan video tersebut, segelintir pihak mendakwa anggota yang terlibat bertindak kasar dan melakukan kekejaman sehingga menyebabkan kematian anjing berkenaan.