suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Guna ‘My Find’ pura-pura kesan telefon hilang, hati-hati modus operandi perompak... Ada sudah jadi mangsa!

Segelintir penjenayah melakukan taktik penyamaran untuk memanipulasikan mangsa. -Gambar hiasan AI

MEMBANTU individu ditimpa musibah sememangnya amalan terpuji, lebih-lebih lagi apabila melibatkan kehilangan telefon pintar yang menyimpan pelbagai maklumat penting.

Namun orang ramai perlu berwaspada agar tidak menjadi mangsa pihak yang ingin mengambil kesempatan menggunakan alasan tertentu untuk mendapatkan maklumat peribadi termasuk alamat kediaman.

Perkara itu menjadi perhatian selepas seorang pengguna Threads berkongsi insiden seorang individu datang ke rumah menunjukkan lokasi telefon menerusi aplikasi My Find kononnya ternampak peranti di kediaman tersebut.

Menurut perkongsian tersebut, rumah yang dikunjungi itu didakwa menjadi sasaran rompakan beberapa minggu kemudian.

"Hati-hati tau kalau tiba-tiba ada orang datang rumah tanya ada jumpa telefon tak, Find My saya tunjuk telefon ada area rumah encik.

"Selang beberapa minggu, rumah itu kena rompak, kawan saya pula punyalah baik bagi info macam-macam dengan niat nak tolong. Tanpa sedar sebenarnya dia dah terbagi info pada perompak," dedahnya.

Rumah menjadi sasaran perompak selepas 'bantuan' dihulurkan. -Gambar hiasan AI

Rumah menjadi sasaran perompak selepas 'bantuan' dihulurkan. -Gambar hiasan AI

Perkongsian itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen mengenai risiko keselamatan apabila orang asing datang ke rumah dengan alasan mencari peranti yang hilang.

Bagaimanapun, laman sesawang apple.com menyatakan, aplikasi Find My direka khas untuk membantu pengguna mengesan lokasi peranti tanpa memaparkan maklumat peribadi penghuni rumah yang berada berhampiran lokasi tersebut.

Malah sistem tersebut dibina menggunakan penyulitan hujung ke hujung dan data anonim bagi melindungi privasi pengguna.

Namun kes tersebut mungkin berlaku disebabkan tindakan individu terlibat yang memanipulasikan mangsa untuk mendapatkan maklumat melalui perbualan dan penyamaran.

Ia seiring laporan yang dibuat CyberSecurity Malaysia yang mana antara insiden penipuan yang kerap dilaporkan kepada Cyber999 ialah kes melibatkan impersonation and spoofing atau penyamaran identiti bagi memperdaya mangsa.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan terjerat atau terima padah! Lelaki dedah 5 taktik kotor ah long ‘cengkam’ mangsa dengan hutang tak berkesudahan

Agensi itu turut menyenaraikan pelbagai bentuk penipuan menggunakan elemen penyamaran dan manipulasi psikologi bagi mendapatkan maklumat atau kepercayaan mangsa sebelum jenayah dilakukan.

Justeru, walaupun tiada bukti aplikasi Find My mendedahkan maklumat penghuni rumah kepada pihak ketiga, orang ramai dinasihatkan tidak sewenang-wenangnya berkongsi maklumat mengenai rutin harian, keadaan rumah atau tahap keselamatan kawasan kepada individu tidak dikenali.

Sekiranya didatangi individu mendakwa sedang mencari telefon hilang, penghuni rumah disaran berurusan secara berhati-hati dan mendapatkan bantuan pihak berkuasa sekiranya keadaan mencurigakan.

Ini kerana dalam sesetengah keadaan, ancaman sebenar mungkin bukan disebabkan teknologi itu sendiri, tetapi daripada individu yang menggunakan alasan kelihatan meyakinkan untuk mendapatkan maklumat tidak sepatutnya didedahkan.

Artikel Lain