MAJLIS perkahwinan sememangnya menjadi detik paling bermakna buat setiap pasangan sehingga ramai sanggup berbelanja besar bagi memastikan segala-galanya berjalan lancar dan meninggalkan kenangan indah.Namun dalam keghairahan mengikuti trend semasa, tidak kurang juga pasangan yang akhirnya menyesal apabila ada keputusan dibuat sekadar mengikut populariti tanpa memikirkan kesesuaiannya untuk jangka panjang. Berkongsi pengalamannya mengendalikan majlis perkahwinan sejak 2012, Ben Firdaus Azraai tampil menitipkan beberapa pandangan kepada bakal pengantin berdasarkan pemerhatian sepanjang lebih sedekad berada dalam industri tersebut.Menurutnya, kebanyakan tip yang dikongsikan bukanlah peraturan wajib, sebaliknya sekadar nasihat berdasarkan apa yang sering dilihat sepanjang menguruskan pelbagai majlis.Pemberian door gift perlu lebih relevan dan sesuai. -Gambar hiasan AI1. Pilih warna baju yang tidak lapuk dek zamanBakal pengantin sebaiknya memilih warna lembut atau pastel yang lebih bersifat 'timeless' berbanding mengikut trend semasa.Ben tampil berkongsi situasi yang mana suatu ketika dahulu tema merah jambu dan biru pernah menjadi kegilaan ramai, namun selepas bertahun-tahun ramai mula berasa kurang selesa melihat semula gambar perkahwinan mereka.2. Sut pengantin lelaki biar ringkasBagi pengantin lelaki yang memilih sut, Ben mencadangkan rekaan potongan klasik tanpa terlalu banyak aksesori atau perincian.Menurutnya, sut berwarna hitam, biru gelap, kelabu atau khaki sentiasa menjadi pilihan yang selamat kerana konsep 'less is more' lebih menyerlahkan penampilan.3. Door gift biar bermanfaatDaripada memberikan cenderamata yang akhirnya disimpan atau dibuang, Ben menggalakkan pasangan memilih hadiah yang boleh dimakan seperti biskut, jem atau roti.Katanya, pemberian seperti cawan, sudu atau barangan yang dicetak nama dan wajah pengantin sering kali tidak digunakan oleh tetamu.4. Pelamin dan dekorasi utamakan konsep yang kekal relevanBen berpandangan, ketelitian pada dekorasi merupakan antara perkara paling penting dalam sesebuah majlis.Jika memilih sesuatu tema, katanya, pastikan elemen yang digunakan tidak terlalu literal sehingga kelihatan janggal apabila dilihat semula beberapa tahun akan datang.5. Sediakan meja tambahan untuk RSVPSelain memastikan senarai RSVP disusun dengan baik, Ben turut mencadangkan supaya pasangan menyediakan sekurang-kurangnya satu meja tambahan.Katanya, langkah itu boleh mengelakkan masalah apabila terdapat tetamu yang hadir bersama individu lain yang tidak berada dalam senarai asal, selain memastikan ahli keluarga serta kru majlis turut mempunyai tempat untuk menjamu selera.