suria

Buli di tempat kerja perlu dihentikan, ada akta undang-undang lindungi pekerja

Budaya membuli ditempat kerja perlu dihapuskan.

SEBARANG unsur pembulian yang berlaku di tempat kerja harus dihentikan dengan segera kerana ia bukan sahaja memberi kesan buruk kepada mangsa tetapi akan menjejaskan pekerja lain serta organisasi terlibat.

Profesor Madya, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Muzaffar Syah Mallow berkata, mangsa buli yang terlibat akan menghadapi tekanan mental dan emosi yang kuat.

ARTIKEL BERKAITAN: Nama doktor ‘pembuli’ di Hospital Pulau Pinang diserah kepada KKM

Mangsa buli yang hanya berdiam diri terhadap apa yang diperlakukan terhadap mereka akan mula menghadapi masalah kesihatan selain kehidupan peribadi juga akan terjejas.

"Mangsa akan mula hilang minat terhadap kerja dan ada juga yang akan terjebak dengan penyalahgunaan dadah, mula ketagih untuk merokok dan minum alkohol malah ada yang akan mencuba membunuh diri.

"Isu atau masalah pembulian yang berlaku di tempat kerja ini tidak boleh dipandang ringan oleh mana-mana pihak. Adalah penting supaya setiap tempat kerja memastikan organisasi mereka bebas daripada isu atau masalah pembulian bagi mengelakkan kewujudan tekanan yang berpanjangan terhadap para pekerja mereka," katanya kepada mStar.

0116_637564269661286321

Budaya membuli ditempat kerja boleh mendatangkan kesan kepada mental seseorang.

Buli tempat kerja bukan isu baharu

Muzaffar menjelaskan, isu buli di tempat kerja bukan isu baharu malah hampir setiap tahun ia dilaporkan dan berlaku di setiap jenis sektor pekerjaan.

Kebiasaannya kata Muzaffar, mangsa buli terdiri daripada golongan pekerja bawahan dan masih tidak banyak pengalaman serta dilakukan oleh pekerja lebih senior atau majikan.

"Buli yang berlaku di tempat kerja ini boleh berlaku melalui pelbagai bentuk atau cara seperti pembulian berbentuk fizikal, pembulian berbentuk secara lisan, pembulian melalui proses penulisan, pembulian berbentuk tekanan mental, psikologi atau emosi dan lain-lain.

"Dengan kewujudan teknologi komunikasi moden dan internet pada masa kini, pembulian juga boleh berlaku secara dalam talian seperti melalui telefon pintar, melalui media sosial dan email," jelasnya.

Kegiatan buli ini juga kata Muzaffar boleh berlaku dalam bentuk diskriminasi dan sebarang jenis gangguan seperti gangguan seksual.

Pematuhan terhadap segala bentuk peruntukan undang-undang serta segala polisi yang berkaitan dengan tempat kerja dalam negara kita perlu diamalkan serta dipatuhi pada setiap masa.

DR MUZAFFAR MALLOW

PROFESOR MADYA, FAKULTI SYARIAH & UNDANG-UNDANG (FSU), UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA (USIM)

"Terdapat pelbagai faktor yang boleh memberi ruang kepada kegiatan buli ini berlaku di sesebuah tempat kerja seperti faktor usia mangsa, faktor jantina mangsa, faktor bangsa dan agama mangsa, faktor tahap pendidikan mangsa, faktor kedudukan dan pengalaman mangsa di tempat kerja dan sebagainya," katanya.

Pekerja, majikan perlu bekerjasama

Dalam mewujudkan sebuah tempat kerja yang harmoni serta bebas daripada isu atau masalah buli, Muzaffar menjelaskan penting untuk semua pihak berkaitan terutamanya majikan dan pekerja itu sendiri untuk saling bekerjasama.

Dengan wujudnya sebuah tempat kerja yang harmoni serta bebas daripada isu atau masalah buli, ia dapat menjamin kesihatan serta keselamatan semua pihak di tempat kerja.

"Jika kesihatan dan keselamatan seseorang pekerja itu terjamin fokus dapat diberikan terhadap sesuatu jenis pekerjaan sekali gus dapat meningkatkan produktiviti organisasi atau tempat kerja yang terlibat.

Photo_Dr. Muzaffar Syah Mallow (1)

Dr Muzaffar Syah Mallow.

"Pematuhan terhadap segala bentuk peruntukan undang-undang serta segala polisi yang berkaitan dengan tempat kerja dalam negara kita perlu diamalkan serta dipatuhi pada setiap masa.

"Buat sekian lama, negara kita telah mewujudkan pelbagai jenis peruntukan undang-undang serta polisi yang berkaitan dengan tempat kerja bagi memastikan semua majikan serta pekerja menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan sebaik-baiknya seperti yang telah termaktub dalam Akta Kerja 1955 [Akta 265], Akta Perhubungan Perusahaan 1967 [Akta 177], Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 [Akta 514], dan sebagainya," jelasnya.

Selain itu, majikan juga perlu lebih bertoleransi dalam memberi tugasan kepada seseorang pekerjanya termasuk tidak seharusnya membebani mereka dengan pelbagai jenis tugasan di luar kemampuan.

Adalah penting juga pihak majikan merangka Petunjuk Prestasi Utama (Key Performance Indicator/KPI) yang lebih realistik serta sesuai dengan keadaan tempat kerja masing-masing, jelas Muzaffar.

"Pihak majikan juga mesti memberi penghargaan atau pengiktirafan terhadap pekerjanya yang telah melaksanakan tugasan kerja yang diberikan dengan baik.

EDgugkuW5Hq4aLYxv7YtwQ

Majikan dan pekerja sepatutnya bekerjasama bagi mewujudkan suasana pekerjaan yang harmoni.

"Sebagai balasan, pihak pekerja juga mesti melaksanakan sesuatu pekerjaan yang telah diamanahkan dengan baik dengan tidak leka serta cuai terhadap tugasan yang telah diberikan.

"Pihak pekerja perlu menghargai segala kemudahan dan kepercayaan yang telah diberikan oleh pihak majikan kepada mereka," katanya.

Budaya tolerensi, kerjasama serta sifat faham memahami antara satu sama lain di antara majikan dan pekerja adalah amat penting bagi mewujudkan sebuah persekitaran tempat kerja yang harmoni, kurang tekanan serta bebas daripada kegiatan pembulian.

Mangsa buli di tempat kerja juga harus berani bersuara terhadap kegiatan buli yang dialami oleh mereka.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain