suria

Nak teroka kehidupan marin? Boleh cuba permainan papan Reef Stakes, turut datang dalam versi bahasa Melayu!

Reef Stakes: Radiant Hope kini didatangkan dalam bahasa Melayu.

PERMAINAN papan (board games) cukup popular sebagai aktiviti mengisi waktu lapang ketika bercuti bersama keluarga dan rakan-rakan seperti Saidina, Ular Tangga, Othello, Scrable, Catur dan sebagainya.

Meskipun perubahan teknologi membuatkan kita banyak menghabiskan masa bersama telefon pintar namun permainan papan sentiasa menjadi pilihan kerana ia aktiviti yang dapat mengeratkan hubungan ketika berkumpul.

ARTIKEL BERKAITAN: Rebut peluang dekati khazanah P.Ramlee, Saloma dalam pameran ‘Aku, Dia dan Lagu’ di Fahrenheit88

Bersandarkan kepada perkara itu, empat anak muda yang juga ahli konservasi marin mencipta Reef Stakes iaitu permainan kad berasaskan persekitaran marin pertama di Malaysia.

Reef Stakes_Group shot

Pengasas bersama Reef Stakes (dari kiri), Quek Yew Aun, Liew Hui Ling, Edmund Lau Chai Ming dan Serena Adam.

Pengasas bersama Reef Stakes, Quek Yew Aun berkata, permainan itu menerapkan mesej pendidikan tentang alam sekitar terutamanya kehidupan marin.

Quek memberitahu permainan ini direka untuk menggambarkan kerumitan proses pembuatan keputusan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan serta ancaman kepada ekosistem terumbu karang.

"Reef Stakes menjanjikan satu pengalaman menyeronokkan dan paling penting berinformasi," katanya kepada mStar.

Sementara itu, apa yang lebih menarik kata Quek, permainan ini turut didatangkan dalam edisi bahasa Melayu menerusi versi ketiga Reef Stakes iaitu Radiant Hope menggantikan Living Coral yang dikeluarkan pada 2019 hingga 2021.

Gameplay (2)

Ia bukan sahaja permainan menyeronokkan tetapi boleh digunakan sebagai pembelajaran.

Jelas Quek lagi, proses penterjemahan permainan ini turut mendapat tajaan dan geran sumbangan daripada program AdvocaSEA oleh Young Southeast Asian Leadership Initiative (YSEALI).

"Penterjemahan permainan ini ke dalam bahasa Melayu sangat dinanti-nantikan pengguna Reef Stakes. Akhirnya terlaksana juga terutamanya dalam aktiviti advokasi dan pendidikan alam sekitar.

"Kami berharap agar permainan ini dapat digunakan lebih ramai lapisan masyarakat sekali gus memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan," ujarnya.

Quek berkata, idea untuk menterjemahkan Reef Stakes ke dalam bahasa Melayu selepas mendapati tidak banyak permainan papan tempatan yang menggunakan bahasa kebangsaan.

22

Antara sebab anda perlu memiliki permainan Reef Stakes.

Atas dasar itu, Quek memberitahu dia bersama pasukannya berazam menterjemahkan permainan itu ke dalam bahasa Melayu agar mesej alam sekitar yang ingin disampaikan lebih berkesan.

Tambahnya lagi, nama dan reka bentuk versi ini juga melambangkan harapan yang diperbaharui selepas muncul pelbagai situasi mencabar sepanjang tempoh dua tahun kebelakangan ini.

"Radiant Hope bagi kami adalah semangat daya tahan, ketabahan dan kemanusiaan yang diperlukan untuk 2022," jelasnya.

Apa lebih membanggakan, usaha mereka tidak sia-sia apabila Reef Stakes berjaya memenangi tempat pertama dalam International Educational Games Competition (IEGC) kelapan baru-baru ini dalam kategori Permainan Bukan Digital.

Ia menjadi permainan kad buatan Malaysia pertama yang menerima anugerah antarabangsa berprestij ini.

Outreach with kids

Program mendekati kanak-kanak juga turut diadakan dalam memupuk rasa cinta terhadap alam sekitar terutamanya kehidupan marin.

Quek memberitahu kemenangan itu dijadikan sebagai inspirasi baginya dan pasukan untuk menghasilkan produk lebih baik pada masa hadapan.

Dalam pada itu, pengasas badan bukan kerajaan (NGO) Green Semporna dan pengurus program di Reef Check Malaysia, Adzmin Fatta pula memberitahu, Reef Stakes bahasa Melayu diharap dapat meningkatkan lagi impak dan jangkauan pendidik tentang alam sekitar terutamanya dalam golongan anak muda.

"Sebenarnya, saya telah menggunakan permainan atas meja ini dalam aktiviti bersama belia dan komuniti pesisir pantai di Sabah sejak tahun 2019.

"Hal ini adalah disebabkan Reef Stakes berjaya menggabungkan elemen pendidikan alam sekitar dan keseronokan permainan secara berkesan.

Third Edition_Eng Version_1

Permainan ini cukup sesuai dimainkan bersama keluarga dan rakan-rakan.

"Namun begitu, jangkauan permainan tersebut amat terhad memandangkan penduduk luar bandar kurang fasih berbahasa Inggeris. Dengan penterjemahan ini, saya lebih yakin untuk menggunakan Reef Stakes pada masa akan datang," ujarnya.

Sejak dilancarkan pada tahun 2018, permainan ini telah dimainkan oleh lebih 3,000 orang daripada semua lapisan masyarakat dengan lebih 400 unit dijual dan digunakan oleh sepuluh NGO tempatan, dua NGO serantau, tiga universiti tempatan dan dua pusat menyelam tempatan dalam sesi pembelajaran mereka.

Reef Stakes juga telah dimainkan di lebih 10 negara termasuk Jerman, Kemboja dan Taiwan.

Reef Stakes: Radiant Hope (versi bahasa Inggeris dan bahasa Melayu) dijual pada harga RM110 (bersama tikar permainan) dan mereka yang berminat boleh mendapatkannya di Shopee: Terumbu Nusantara.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain