suria

“Rindu nak kembali ke kampus” - Beberapa bulan kuliah secara online, replika canselori buat pengubat rindu

Nur Izzati mengambil masa selama lima hari bagi menyiapkan replika bangunan Canselori USIM.

SEJAK kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac lalu, sekolah dan pusat pengajian tinggi ditutup bagi membendung penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pelajar.

Pelajar sebaliknya perlu mengikuti sesi pembelajaran dan pengajaran secara atas talian di rumah masing-masing sehingga kini.

ARTIKEL BERKAITAN: “Rumah tiada warna hijau, hidup tak semangat” - Mula-mula hobi, tanaman dalam gelas kaca kini jadi kerjaya 2 sahabat

Bagi penuntut jurusan Fizik Gunaan Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nur Izzati Mohamad Azizi, dia juga tidak terkecuali perlu belajar dari rumah.



Nur Izzati berjinak-jinak dalam seni miniatur sejak di bangku sekolah.

Malah katanya, selepas beberapa kali menghadiri kuliah secara atas talian, perasaan rindu untuk kembali ke kampus semakin menebal dan berharap keadaan kembali seperti sedia kala.

Bagi mengubat kerinduan terhadap kampus, Nur Izzati, 22, meluahkan perasaannya dengan menghasilkan miniatur replika bangunan canselori USIM.

"Menghasilkan miniatur canselori itu bukan sahaja mengubat kerinduaan terhadap kampus tetapi ia juga amat mencabar kerana ini merupakan yang pertama dihasilkan berkonsepkan replika bangunan.

"Saya memilih bangunan itu kerana ia amat sinonim dengan USIM selain kerna reka bentuknya yang menarik," katanya yang menyiapkan miniatur itu dalam masa lima hari.

Menghasilkan miniatur canselori ini bukan sahaja mengubat kerinduaan terhadap kampus tetapi ia juga amat mencabar kerana ini merupakan miniatur pertama saya yang berkonsepkan replika bangunan.

NUR IZZATI MOHAMAD AZIZI

PELAJAR UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA

Minat Izzati terhadap seni menghasilkan miniatur menggunakan tanah liat polimer (polymer clay) ini timbul semasa di sekolah menengah dan mula mempelajari teknik dan kemahiran seni kreatif ini menerusi video di YouTube.

"Selepas tamat tingkatan lima, saya kumpul duit hasil bekerja sambilan untuk membeli bahan-bahan bagi menghasilkan miniatur ini. Bahan utamanya iaitu polymer clay tidak terlalu mahal harganya sekitar RM30 hingga RM50 mengikut saiz.

"Diperingkat awal saya mulakan dengan membuat miniatur berbentuk makanan dan figura karekter kartun dan kongsikan hasilnya di laman Instagram. Tidak sangka ramai yang berminat dan ingin menempahnya untuk dijadikan barang hiasan dan key chain," katanya.

Anak keempat daripada lapan beradik ini mengaku keterbatasan masa kerana komitmen sebagai pelajar universiti membuatkan dia mengambil keputusan untuk tidak menerima tempahan atau menjadikan miniatur ini sebagai pendapatan sampingan.



Kerinduan terhadap kampus telah memberi idea kepada Nur Izzati untuk menghasilkan replika bangunan Canselori USIM.

"Saya selesa untuk menjadikan kemahiran menghasilkan miniatur ini sebagai hobi buat masa ini kerana merasa lebih puas dan gembira apabila berjaya hasilkan pelbagai rekaan miniatur yang mencabar dan menarik.

"Di Malaysia, masih kurang menonjol kraf tangan miniatur ini tetapi ia mempunyai potensi yang tinggi. Saya menggalakkan sesiapa yang berminat dengan seni miniatur untuk menjadikan ia sebagai hobi kerana ia membuka peluang mendapatkan pendapatan sampingan," ujarnya.

Tambahnya lagi, ia bukan hobi yang memerlukan belanja tinggi kerana dengan modal kurang RM100 sudah boleh memiliki satu set polymer clay dan peralatan sampingan lain yang boleh menghasilkan 50 miniatur bersaiz kecil.

"Miniatur yang telah siap akan dibakar di dalam ketuhar pada suhu antara 100 hingga 110 darjah Celcius selama lebih kurang lima minit. Polymer clay ini kita boleh hasilkan pelbagai bentuk miniatur mengikuti kreativiti masing-masing dan saiznya boleh dipelbagaikan," jelasnya.



Nur Izzati turut berkongsi ilmu mengenai penghasilan miniatur di saluran YouTube miliknya.

Bagi seseorang yang ingin memahirkan diri dalam menghasilkan miniatur, kata Izzati, berdasarkan pengalaman sendiri, ia mengambil sedikit masa untuk dipelajari tetapi semua itu bukannya halangan jika mempunyai minat yang tinggi.

Selain memiliki kreativiti menghasilkan miniatur, Izzati yang berbakat menghasilkan lukisan doodle dan komik online ini menyimpan hasrat untuk menghasilkan miniatur Istana Negara selepas ini.

Mempunyai lebih 31,000 pengikut di akaun Instagram @nurizzatiazizi dan 2,600 subscribers di saluran YouTube, anak muda ini juga aktif berkongsi hasil seni miniatur, lukisan doodle, komik dan tip di platform media sosial ini.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain