suria

“Rumah tiada warna hijau, hidup tak semangat” - Mula-mula hobi, tanaman dalam gelas kaca kini jadi kerjaya 2 sahabat

Muhammad Faisal Hashim (kiri) dan Muhammad Faizal Mahmud mengusahakan perniagaan Ficus & Jars sejak 2013. -Foto MUHAMMAD SHAHRIL ROSLI/THE STAR

MINAT mendalam terhadap tumbuhan hijau telah membuka peluang kepada dua pemuda ini menjadikan apa yang digemari mereka sebagai kerjaya tetap.

Merupakan dua sahabat baik, Muhammad Faisal Hashim dan Muhammad Faizal Mahmud, kini mampu tersenyum bangga apabila jenama milik mereka, Ficus & Jars mula mendapat perhatian penggemar hiasan berasaskan tumbuhan segar untuk hiasan kediaman atau pejabat.

Menerusi jenama itu, pasangan ini menyediakan perkhidmatan gubahan tumbuhan hijau menggunakan gelas kaca pelbagai bentuk (Terrarium) yang cukup menarik.

ARTIKEL BERKAITAN: Hati tenang tengok barangan Milo penuh rumah, tin berkarat pun ada nilai!

"Kami bermula secara suka-suka pada 2013 dan sejak dua tahun lalu kami kembangkan jenama ini secara sepenuh masa.



Minat mendalam terhadap tumbuhan hijau berjaya mampu dikembangkan sebagai kerjaya.

"Ini semua kerana minat mendalam kami terhadap tumbuhan hijau yang ingin kami kongsikan kepada masyarakat dan Alhamdulillah ia mendapat sambutan luar biasa," katanya kepada mStar.

Bagi Muhammad Faisal, 33, idea menghasilkan hiasan tersebut timbul apabila dia menyedari rumahnya sendiri tiada sebarang tumbuhan hijau atau elemen rona itu bagi menghidupkan suasana di kediamannya.

"Saya memang minat terhadap kehijauan tetapi suatu hari saya tersedar bahawa rumah saya langsung tiada warna hijau sehingga membuatkan hidup jadi tidak bersemangat.

"Daripada situ saya mula membeli pokok hijau untuk diletakkan di dalam rumah dan setiap kali melihatnya saya terfikir apa yang boleh dilakukan bagi menjadikan ia lebih menarik sekali gus menjadikan ia sebahagian daripada dekorasi rumah," ujarnya.

Alhamdulillah minat mendalam terhadap tumbuhan hijau yang ingin kami kongsikan kepada masyarakat mendapat sambutan luar biasa.

MUHAMMAD FAISAL HASHIM

PEMILIK FICUS & JARS

Muhammad Faisal memberitahu dia dan sahabatnya itu yang menuntut dalam bidang rekaan seni mula tampil dengan rekaan bingkai kaca sebagai tempat meletakkan tumbuhan seperti kaktus, lidah buaya, sukulen serta pokok lili.

Hasil kreativiti mereka itu, ia mula mendapat perhatian daripada penggemar pokok hiasan apabila mereka mula memuat naik gambar di laman sosial seperti Facebook dan Instagram.

Daripada situ, mereka mula mendapat tempahan daripada pelanggan dan keunikan rekaan Ficus & Jars mula menjadi buah mulut.

Sementara itu, di sebalik pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia sejak awal tahun ini, Muhammad Faizal, 36, berkata, ia sedikit sebanyak memberi kesan positif kepada perniagaan mereka apabila semakin ramai yang berminat dengan hobi tersebut.



Hasil seni dua sahabat ini cukup menarik.

Tidak hanya memikirkan keuntungan, mereka beranggapan perhatian masyarakat terhadap tanaman hijau telah memberi peluang kepada mereka untuk memberi kesedaran tentang kepentingan menjaga tanaman dan bukan sekadar dekorasi kediaman.

"Sejak pandemik memang ramai yang mengalih perhatian kepada pokok hijau sebagai hobi dan Alhamdulillah rezeki kami juga bertambah tetapi ini juga peluang keemasan yang boleh kami guna untuk memberi kesedaran dan pendidikan tentang penjagaan pokok di dalam rumah.

"Ramai suka nak bela pokok hijau di dalam rumah tetapi ada segelintir yang tidak tahu cara menjaga sehingga tanaman cepat mati tanpa penjagaan yang betul.

"Di sinilah kami gunakan media sosial untuk memberi penerangan yang betul menerusi video tentang penjagaan tumbuhan hijau di dalam rumah," jelasnya.



Pelanggan juga boleh memberi idea bagi menghasilkan rekaan tanaman dalam gelas kaca mereka.

Dalam pada itu, Muhammad Faisal berkata, Ficus & Jars bukan sahaja menjual tumbuhan hijau semata-mata sebaliknya mereka mengetengahkan ia sebagai gaya hidup.

Fokus dan impian mereka adalah untuk melihat setiap rumah mempunyai sekurang-kurangnya satu jenis pokok yang dapat memberikan elemen semula jadi pada kediaman mereka.

Bagi menambahkan elemen keseronokan dan peribadi, pelanggan juga boleh memberi idea pada reka bentuk gelas kaca dan tumbuhan yang diinginkan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!


Artikel Berkaitan

Artikel Lain