suria

Hello team WFH... nak lebih produktif, kurang stres? Apa kata cuba terapeutik muzik

Teraputik muzik dapat membantu mengurangkan kebimbangan dan tekanan ketika bekerja dari rumah.

MENURUT kajian daripada jurnal perubatan Cochrane Heart Group pada 2013, intervensi muzik digunakan saban tahun bagi mengurangkan kebimbangan dan tekanan serta menambah baik tindak balas fisiologi seperti kadar denyutan jantung dan kadar pernafasan dalam kalangan pesakit perubatan.

Kajian itu juga turut menyebut bahawa mendengar muzik berupaya untuk mengurangkan kebimbangan dan tekanan, sekali gus dapat membantu meningkatkan kualiti tidur.

ARTIKEL BERKAITAN: Waktu pejabat dah habis, tapi tekanan masih terasa... ini 3 cara buat kita betul-betul rileks selepas balik kerja

Pegawai Psikologi, Kementerian Luar Malaysia, Mohd Zaki Sarpan berkata, terapeutik muzik dilihat lebih berkesan dalam membantu seseorang tetap produktif ketika bekerja dari rumah, terutamanya dari segi konsentrasi dan pengurusan stres.

"Muzik dapat meningkatkan produktiviti dan prestasi kognitif, terutama kepada orang dewasa, selain dapat membantu seseorang menguruskan kegelisahan, lebih bermotivasi dan mengekalkan produktiviti.



Muzik yang sesuai mengikut keadaan dapat membantu seseorang itu menumpukan perhatian ketika bekerja dari rumah.

"Walaupun tiada kajian bahawa terapeutik muzik boleh menyembuhkan atau menyelesaikan masalah akibat krisis, tetapi ia dapat membantu kanak-kanak dan golongan dewasa belajar menangani krisis menggunakan kemahiran dan meluahkan perasaan serta emosi," katanya.

Beliau adalah jurulatih serta pengasas Kelab Happy Drummers, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sejak 2014.

Menurut Mohd Zaki, pemilihan muzik yang sesuai mengikut keadaan dapat membantu seseorang itu menumpukan perhatian ketika bekerja dari rumah, sama ada ketika berehat mahupun ketika bekerja.

"Muzik dapat mempengaruhi emosi seseorang. Misalnya, apabila kita mendengar lagu sedih, kita akan berasa sedih dan ada kalanya lagu-lagu rancak dapat menceriakan emosi seseorang daripada sedih kepada gembira.

"Namun semua itu adalah bergantung kepada individu itu sendiri, sama ada menggunakan muzik untuk bersantai mahupun untuk tujuan menumpukan perhatian pada kerja mereka. Ia bergantung kepada pilihan masing-masing kerana setiap orang mempunyai cita rasa muzik yang berlainan, ” katanya.



Lagu tanpa lirik berinstrumental juga mampu meningkatkan tumpuan seseorang.

Tambahnya, bagi mereka yang kurang bermotivasi dan tidak bersemangat untuk bekerja dari rumah, dicadangkan memilih lagu-lagu yang mempunyai lirik positif.

"Apabila kita menghayati lirik positif yang terdapat pada sesebuah lagu, secara tidak langsung kita akan terikut-ikut dan menyanyi lagu itu dan ia juga boleh memberikan semangat positif untuk meneruskan kerja mereka.

"Waktu pagi merupakan tempoh sesuai untuk mendengar lagu-lagu positif sebelum memulakan kerja namun ia juga bergantung kepada individu, bila-bila masa sahaja asalkan ia dapat meningkatkan semangat motivasi mereka," katanya.

Selain itu, Mohd Zaki berkata lagu tanpa lirik berinstrumental juga mampu meningkatkan tumpuan seseorang sama ada terhadap pembelajaran mahupun pemahaman terhadap kerja mereka di rumah.

"Namun, bukan semua orang sukakan lagu tanpa lirik ini, pelbagai kesan muzik boleh mempengaruhi emosi seseorang, ia juga berdasarkan minat seseorang kerana muzik itu sangat universal.

"Ada yang suka mendengar bunyi air, bunyi burung berkicau ataupun muzik berlatarbelakangkan alam semulajadi mampu memberi ketenangan juga kepada mereka," katanya. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



Artikel Berkaitan

Artikel Lain