suria

'Kedai Pernah Sayang' jadi bualan netizen, pemilik dedah cerita di sebaliknya..."Kapsyen gambarkan kisah sebenar"

Antara barangan yang dijual di Instagram @kedaipernahsayang.

SETIAP daripada kita yang menjalinkan hubungan cinta pasti berharap ia berakhir dengan sebuah ikatan perkahwinan sehingga ke akhir hayat.

Dalam fasa percintaan ini juga kita biasanya sanggup melakukan apa sahaja demi orang tersayang termasuklah memanjakan mereka dengan pelbagai hadiah seperti jam tangan, kasut, beg tangan, cincin dan sebagainya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Rumah tiada warna hijau, hidup tak semangat” - Mula-mula hobi, tanaman dalam gelas kaca kini jadi kerjaya 2 sahabat

Ibaratnya, sebut sahaja pasti dapat! Hadiah itu juga sebagai bukti perasaan cinta kepada pasangan selain kita serius menjalinkan hubungan itu.

Namun itu bukanlah jaminan sesuatu hubungan itu akan kekal sehingga ke jenjang pelamin kerana terdapat pelbagai faktor lain menentukan sama ada kita serasi dengan pasangan atau pun tidak.

Apabila hubungan berakhir dengan perpisahan, mulalah semua hadiah pernah diberikan pasangan membuatkan kita terkenang pelbagai memori manis dan pahit bersama mereka.



Jam tangan dan beg tangan yang mempunyai pelbagai kisah di sebaliknya.

Hendak dibuang, sayang tetapi apabila ditatap ia merobek hati apatah lagi apabila mengetahui bekas kekasih telah pun bertemu cinta baharu.

Filem 'Toko Barang Mantan' inspirasi Kedai Pernah Sayang

Jangan bimbang kerana menghapuskan barangan pemberian si dia boleh menjadi sesuatu yang menguntungkan apabila anda boleh menjual semua hadiah daripada bekas kekasih di Instagram @kedaipernahsayang.

Memang cukup sesuai untuk 'hapuskan' semua kenangan daripada mantan kekasih, suami atau isteri sambil mengaut keuntungan daripadanya!

Bercakap kepada mStar, pemiliknya yang mahu dikenali sebagai KT memberitahu idea mewujudkan laman sosial itu timbul ketika dia menonton sebuah filem Indonesia berjudul Toko Barang Mantan lakonan Reza Rahadian dan Marsha Timothy sekitar dua minggu lalu.

"Ketika separuh jalan menonton filem itu, saya tiba-tiba mendapat idea untuk membuka laman sosial dengan konsep sama.

Antara barangan yang paling banyak ingin dilepaskan adalah cincin dan gelang serta aksesori wanita... tidak kurang juga ada lelaki yang ingin menjual hadiah pemberian bekas kekasih.

KT

PEMILIK INSTAGRAM @KEDAIPERNAHSAYANG

"Saya tahu ada ramai yang ingin menjual barangan daripada bekas kekasih tetapi mungkin kerana malu atau tiada tempat untuk berbuat demikian.

"Selain itu, ini adalah cara untuk mereka move on daripada bekas kekasih dan memori terhadap barangan yang pernah dihadiahkan kepada mereka," katanya kepada mStar.

Buat permulaan kata KT, dia memuat naik barangan peribadi daripada bekas kekasihnya sendiri berupa kamera polaroid dan sejak itu laman sosialnya itu mula mendapat perhatian.

Malah kamera tersebut sudah pun terjual dan mendapat keuntungan sebanyak RM150.

Cincin barang paling popular, kapsyen kisah sebenar pemilik barangan

Meskipun baharu dua minggu akaun itu diwujudkan, KT memberitahu langsung tidak menyangka sambutan luar biasa diberikan apabila ia sudah pun mempunyai 7,000 pengikut.



Gambar dan kapsyen yang disertakan mengenai kisah di sebalik sesuatu barang itu.

Tambahnya, ramai menghantar mesej (DM) untuk menjual barangan daripada bekas kekasih mereka yang kebanyakannya daripada golongan wanita.

"Antara barangan yang paling banyak ingin dilepaskan adalah cincin dan gelang serta aksesori wanita... tidak kurang juga ada lelaki yang ingin menjual hadiah pemberian bekas kekasih," ujarnya.

Sementara itu, KT mengakui antara kelebihan Instagram tersebut apabila ramai berasa geli hati dengan kapsyen serta water mark pada gambar yang dimuat naik.

Jelasnya, kapsyen tersebut adalah nukilan sebenar daripada pemilik tentang pengalaman atau kisah di sebalik perhubungan dan hadiah diberikan mantan mereka.

"Sebelum memuat naik sesuatu gambar, saya akan serahkan beberapa soalan standard kepada pemilik barang itu untuk menceritakan kisah di sebaliknya. Kapsyen itu adalah seratus peratus daripada pemiliknya.



Jam tangan dan kasut antara barang yang ingin dijual.

"Cuma saya akan cari kata kunci menarik untuk dibuat watermark pada gambar dalam menarik perhatian pelawat Instagram itu.," katanya.

Jelas KT, penting untuknya memuat naik kapsyen daripada pemilik barangan tersebut kerana ia sedikit sebanyak dapat memberi pengajaran dan motivasi kepada pembaca mengenai hal berkaitan hubungan cinta.

KT turut memberitahu, pihak @kedaipernahsayang tidak menjual secara langsung barangan yang dimuat naik sebaliknya mereka adalah pihak ketiga menghubungkan penjual dan pembeli.

"Apabila ada pembeli yang berminat, kami akan hubungkan dengan penjual untuk urusan selanjutnya kerana mungkin ada pembeli yang ingin melihat terlebih dahulu barang tersebut dan sebagainya," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain