suria

Mengawal berat badan, melambatkan perubahan iklim antara 5 kebaikan berkebun

Berkebun bukan sahaja aktiviti orang tua tetapi sesuai untuk kanak-kanak.

SEJAK pandemik Covid-19 melanda dunia, ramai di antara kita lebih banyak menghabiskan masa di rumah bagi melindungi diri daripada virus berbahaya itu.

Apabila lebih banyak menghabiskan masa di rumah pasti ramai di antara kita yang mencari pelbagai aktiviti untuk menghilangkan rasa bosan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Rumah tiada warna hijau, hidup tak semangat” - Mula-mula hobi, tanaman dalam gelas kaca kini jadi kerjaya 2 sahabat

Antara aktiviti yang paling mudah adalah berkebun - yang bukan sahaja aktiviti menyihatkan tetapi juga mempunyai pelbagai manfaat tanpa kita sedari.

Ini termasuklah kepada fikiran, tubuh dan jiwa kita. Berikut adalah 5 manfaat berkebun;



Berkebun juga dapat meningkatkan koordinasi tangan.

1. Menaikkan semangat

Ketika ini mungkin semangat kita semakin pudar kerana Covid-19 yang belum menunjukkan penurunan namun sebuah kajian yang dilakukan NASA pada 2016 mendapati berkebun dapat menghilangkan tekanan dan meningkatkan stimulasi sentuhan.

NASA yang menghantar angkasawan ke luar angkasa mendapati berkebun dapat membuatkan angkasawan berasa tenang meskipun berada dalam situasi getir.

Dalam penelitian mereka, menaman dan menjaga tumbuh-tumbuhan dapat membuatkan hati berasa tenang dan mengurangkan tekanan.

2. Melambatkan perubahan iklim

Sedar atau tidak, berkebun dapat membantu menyelamatkan dunia daripada masalah pemanasan global.

Menurut laporan National Wildlife Federatio, kebun menyediakan ruang hijau yang penting untuk mengurangkan gas rumah hijau serta keperluan anda untuk membeli barang makanan.

Di samping itu, ruang hijau juga membolehkan kita mengitar semula sampah dapur, dan banyak perkara positif lain untuk menjaga planet ini.



Berbudi kepada tanah banyak manfaatnya.

3. Sayur lebih enak

Apabila menaman sayur sendiri, ia bukan sahaja terjamin lebih bersih daripada sebarang bahan kimia tetapi keluarga terutamanya anak kecil akan menyukainya.

Sebuah kajian yang dilakukan pada 2017 dan diterbitkan dalam Journal of the Academy of Nutrition and Dietetics menemukan, kanak-kanak yang diperkenalkan dengan aktiviti berkebun akan lebih gemar makan buah dan sayuran.

4. Membantu mengawal berat badan

Sebuah kajian pada 2013 yang diterbitkan dalam American Journal of Public Health mengatakan, berkebun dapat membantu mengurangkan berat badan.

Kajian ini juga menunjukkan, tukang kebun memiliki indeks massa tubuh yang lebih rendah atau ideal. Ia sekaligus merendahkan risiko obesiti termasuk penyakit seperti diabetes, tekanan darah tinggi serta penyakit jantung.

5. Meningkatkan koordinasi dan kekuatan tangan

Kekuatan dan koordinasi tangan sangat penting untuk melakukan pelbagai tugasan seharian seperti memandu, menaip, mengangkat barang mahupun membuka penutup botol.

Berkebun sebenarnya adalah kaedah terbaik untuk mengasah kemahiran motorik dan otot yang baik. Beberapa minit mencabut rumput atau membancuh campuran tanah sudah dapat membantu mengimbangi beberapa ketegangan disebabkan oleh penggunaan bahagian badan tertentu berulang kali.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain