suria

Hati tenang tengok barangan Milo penuh rumah, tin berkarat pun ada nilai!

Sebahagian koleksi barangan Milo milik Mohd Yusof Ali yang dipamerkan di Sunway Pyramid.

SIAPA yang tak suka minum Milo? Boleh dikatakan minuman itu sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat Malaysia terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.

Maka tidak hairan pelbagai jenis menu lain menggunakan Milo dicipta seperti Milo Dinasour, ais krim, ais kepal Milo dan ada juga yang mengolahnya menjadi kek.

ARTIKEL BERKAITAN: Pandemik tak halang Jid Kay berkarya, koleksi ‘Malaysia Kita’ angkat keunikan kaum dan budaya sempena Kemerdekaan

Tetapi bagi pekerja swasta, Mohd Yusof Ali, Milo bukan sekadar minuman tetapi ia menggamit memori bersama allahyarham bapanya ketika dia kecil.



Koleksi tin Milo dan botol air milik Mohd Yusof.

Sehingga kini katanya, setiap kali dai melihat koleksi barangan Milo di rumahnya, ia akan mengingatkan kepada bapanya.

"Semasa saya kecil arwah bapa buka kedai runcit, Milo adalah antara barangan yang wajib ada di kedainya. Biasanya, jika pembekal hantar Milo berserta barangan percuma, beliau pasti akan memberinya kepada saya.

"Sejak itu, saya cukup meminati mengumpul apa sahaja barangan berkaitan Milo seperti tin, koleh, botol, beg, baju, poster, papan tanda dan sebagainya," katanya kepada mStar.

Rumah bertukar muzium Milo, berhabis hampir RM50,000

Yusof ditemui pada sambutan ulangtahun ke-70 Milo yang diadakan di Sunway Pyramid baru-baru ini dan dia dijemput untuk membuat pameran koleksinya di situ.



Menggamit memori... Barangan keluaran Milo edisi persekolahan dalam simpanannya.

Bercerita lanjut mengenai koleksinya, Mohd Yusof, 41, memberitahu sehingga kini dia mempunyai sekitar 1,500 pelbagai jenis barangan berkaitan Milo yang dipamerkan di kediamannya di Klang, Selangor.

Jelasnya, meskipun dia sudah mula mengumpul barangan jenama itu sejak kecil namun dia mula serius mencari barangan 'rare' sekitar 15 tahun lalu.

"Pada sesetengah orang ia mungkin tidak bernilai tetapi pada saya ia mempunyai sentimental yang cukup berharga meskipun ia sekadar tin lama yang sudah berkarat.

"Barangan koleksi Milo ini cukup menarik sebenarnya kerana ia berbeza mengikut tahun dan negara ia dikeluarkan," katanya.

Pada sesetengah orang ia mungkin tidak bernilai tetapi pada saya ia mempunyai sentimental yang cukup berharga meskipun ia sekadar tin lama yang sudah berkarat.

MOHD YUSOF ALI

PENGUMPUL BARANGAN MILO

Lebih menarik, Mohd Yusof menjadikan rumahnya sebagai tempat mempamerkan semua koleksi dimilikinya sehingga ada menggelar kediamannya sebagai muzium penyimpanan barangan Milo.

"Ruang tamu rumah memang saya jadikan galeri Milo sampaikan ada mengatakan ia seperti muzium. Selain ia banyak memori dan kisah di sebaliknya, warna hijau Milo itu membuatkan saya rasa tenang.

"Memang susah juga nak kumpul barangan yang 'rare' tetapi selalunya saya akan ke pasar lambak, kedai lama untuk mencari koleksi lama.

"Sehingga kini kalau dihitung, saya sudah membelanjakan sekitar RM50,000 untuk semua koleksi ini," katanya.



Macam muzium... Mohd Yusof menyusun kemas tin dan cawan di dinding rumah.

Antara koleksi paling mahal yang dibelinya adalah set cawan Milo yang digunakan di kopitiam pada era 50-an dengan harga RM3,000. Manakala tin Milo yang dikeluarkan pada tahun 1960-an adalah antara paling antik dalam koleksinya.

Tidak berhasrat jual, mahu pamerkan pada orang ramai

Sementara itu, Mohd Yusof mengakui ramai yang sanggup membayar wang yang lumayan bagi membeli koleksi peribadinya namun sehingga kini dia tidak berhasrat untuk menjualnya.

Katanya, koleksinya tidak boleh dinilai dengan wang kerana ia mempunyai nilai sentimental dan sejarah tersendiri yang patut diketahui oleh generasi muda.



Mohd Yusof tidak berhasrat untuk menjual koleksinya meskipun ada yang ingin membeli.

"Memang ramai yang nak beli tetapi kebiasaannya saya akan tolak secara baik. Saya kumpul bukan kerana ingin mengaut keuntungan tetapi kerana minat dan nilai sentimental yang ada padanya.

"Saya lebih gemar adakan pameran bagi memberi peluang kepada generasi muda mengenali Milo dan sejarah di sebaliknya," jelasnya.

Atas dasar itu juga, dia bersama beberapa pencinta barangan antik menubuhkan Kelab Peminat Barangan Milo di Facebook bagi membolehkan mereka berkongsi gambar, informasi tentang minat mereka.

Malah kelab itu turut terbuka kepada orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai koleksi mereka yang ada di antaranya sudah mencecah usia 50 tahun.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Milo, koleksi, antik, hobi, van Milo, Milo 70 Tahun

Artikel Lain