suria

Pandemik tak halang Jid Kay berkarya, koleksi ‘Malaysia Kita’ angkat keunikan kaum dan budaya sempena Kemerdekaan

Jid Kay atau Yazeed Kayoom bersama koleksi 'Malaysia Kita Tote Bag' dan baju T yang dihasilkan sempena Hari Kemerdekaan. Foto FAIHAN GHANI

TIDAK dinafikan pandemik Covid-19 telah menjejaskan kehidupan seharian kebanyakan daripada kita apatah lagi aktiviti perniagaan yang kebanyakannya berhadapan dengan situasi getir dan tidak menentu.

Perkara sama berlaku kepada artis Jid Kay atau nama sebenarnya Yazeed Kayoom yang cukup terkenal dengan penghasilan barangan cenderahati premium dalam mengangkat budaya dan warisan Malaysia dalam setiap seninya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan biasa-biasa... Hanya guna cap jari, pensyarah hasilkan potret Tunku Abdul Rahman!

Namun itu langsung tidak mematahkan semangatnya walaupun mengakui dia turut terkesan akibat penularan wabak itu.



Malaysia Kita Tote Bag berinspirasikan kepelbagaian kaum dan budaya di Malaysia.

"Sebenarnya saya mempunyai pelbagai perancangan untuk Tahun Melawat Malaysia 2020 tetapi Covid-19 telah mengubah semua yang telah kita susun.

"Meskipun terjejas, saya tidak boleh berpeluk tubuh tanpa melakukan apa-apa sebaliknya saya ambil peluang 'berehat' itu untuk fokus kepada idea dan menghasilkan sesuatu yang baharu sesuai dengan situasi semasa," katanya kepada mStar.

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Yazeed memberitahu timbul idea untuk menghasilkan pelbagai cenderahati premium yang mengangkat kepelbagaian kaum dan budaya di Malaysia sempena sambutan Hari Kemerdekaan.



Jid turut menghasilkan cawan, tumblr dan poskad dengan mempamerkan watak Lady Kebaya.

Hasilnya, Yazeed tampil dengan koleksi 'Malaysia Kita Tote Bag' yang memaparkan pelbagai lukisan yang mengangkat pelbagai kaum di Malaysia dengan nama Lady Iban, Lady Kadazan, Lady Puteri, Lady Saree, Lady Cheongsam dan Lady Kebaya.

"Koleksi ini adalah untuk rakyat Malaysia dan menerusi Malaysia Kita Tote Bag ini saya ingin menggambarkan tentang kepelbagaian kaum dan budaya yang terdapat di negara ini.

"Malaysia sangat kaya dengan budaya dan warisan yang tiada di tempat lain dan menerusi koleksi ini itu yang cuba saya gambarkan.



Penghasilan lukisan Lady Kebaya telah banyak memberi inspirasi kepada Jid dalam mengembangkan koleksi Malaysia Kita.

"Meskipun kita berbeza kaum dan agama tetapi kita sangat beruntung kita semua bersatu hati dan berkongsi kepelbagaian itu," jelasnya.

Tidak terhad kepada tote bag, Yazeed turut menghasilkan pelbagai cenderahati lain seperti penanda buku, magnet, cawan, baju T dan sebagainya dengan mengangkat tema sama.

Paling penting kata Yazeed, semua barangan yang dihasilkan adalah buatan Malaysia sepenuhnya dan berharap ia mendapat sokongan padu rakyat negara ini dalam merancakkan lagi sektor perniagaan tempatan bersesuaian dengan kempen JomSupportLocalLah.

"Kemerdekaan adalah tentang semangat cintakan negara dan mari sama-sama kita tunjukkan semangat dan sokongan kepada produk tempatan.



Penanda buku dan magnet antara sebahagian koleksi terbaharu Jid.

"Alhamdulillah, setakat ini juga saya lihat sokongan dan kesedaran masyarakat terhadap barangan tempatan semakin memberangsangkan," katanya.

Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, Yazeed memberitahu koleksi Malaysia Kita akan dijual secara eksklusif di bazar anjuran Bangsar Village, Kuala Lumpur bermula 29 Ogos hingga 2 September ini bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Ia juga boleh didapati di butik Apom yang terletak di KLCC dan Bangsar Village.

"Beli barangan tempatan dan berbanggalah dengannya! Itu harapan saya apabila menghasilkan koleksi ini," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain